Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika meninjau mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di SK Tapang, Kota Bharu, Kelantan hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengaktifkan Ops Payung dengan memindahkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terperangkap akibat bencana banjir supaya mereka boleh menduduki peperiksaan itu dengan selamat, kata menterinya Fadhlina Sidek.
Fadhlina berkata operasi itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk jawatankuasa keselamatan, Majlis Keselamatan Negara, polis, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain, lapor Bernama.
“OPS Payung merupakan amalan biasa setiap kali banjir, dan ia memastikan keselamatan murid dapat dipantau dengan ketat, terutama calon SPM.
“Saya sempat melawat empat buah sekolah hari ini dan melihat sendiri proses pemindahan pelajar ke asrama sebagai langkah awal keselamatan,” katanya selepas meninjau pusat pemindahan sementara di SK Tapang, Kota Bharu, Kelantan.
Katanya, keutamaan ketika ini ialah memastikan calon SPM dapat menduduki peperiksaan tanpa halangan, selain menguruskan keselamatan pelajar di kawasan berisiko banjir.
Beliau berkata sebahagian besar calon SPM di kawasan berisiko sudah ditempatkan di asrama, namun kementerian turut bersedia memindahkan calon yang terkepung atau terhalang untuk ke pusat peperiksaan menggunakan aset agensi keselamatan terlibat.
“Alhamdulillah, Jabatan Pendidikan Kelantan mempunyai pengalaman yang luas dan menunjukkan tahap kesiapsiagaan yang baik.
“Semua persiapan dibuat dengan kemas dan kita berdoa agar urusan anak-anak SPM dipermudah,” katanya.
Seramai 413,372 calon akan menduduki peperiksaan bertulis SPM bermula 25 Nov hingga 23 Dis ini.
Setakat hari ini beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis dan Terengganu dilanda banjir dengan Kelantan paling teruk terjejas apabila lebih 7,000 penduduk dipindahkan.
