Kerajaan pertimbang sedia kenderaan berat angkut rakyat Malaysia kandas di Hatyai

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata pastinya rakyat Malaysia mahu pulang segera ke tanah air selepas kandas akibat banjir di Hatyai. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata kerajaan mempertimbang menyediakan kenderaan berat untuk mengangkut rakyat Malaysia terkandas susulan banjir di Hatyai, menerusi koordinasi Kementerian Luar dan kerajaan Thailand.

Beliau berkata, Malaysia juga akan memperoleh maklumat terkini berhubung situasi banjir yang berlaku di wilayah itu menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

“Kita akan mendapat maklumat terkini daripada konsul jeneral kita di Songkhla, serta koordinasi akan dibuat dengan Kementerian Luar dan mungkin dengan kerajaan Thailand dan juga gabenor di wilayah Songkhla untuk kita berikan bantuan kepada mereka.

“Dan seboleh mungkin mereka mahu pulang cepat ke negara kita dan mungkin kita sediakan kenderaan berat untuk mengangkut mereka supaya dapat pulang ke kawasan masing-masing,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS): Moh Kita Sihat di Bagan Datuk.

Malam tadi, media melaporkan kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang terkandas berikutan banjir di Hatyai dan beberapa kawasan di sekitar selatan Thailand dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Mengulas laporan media itu, Zahid berkata dijangkakan air surut tengah hari ini dan berharap koordinasi dapat dilakukan untuk membantu rakyat Malaysia yang terperangkap supaya mereka dapat dibawa pulang segera.

“Terutama pelajar dan guru yang terperangkap, kira-kira 40 orang dan kita harap mereka bekerjasama dengan konsul jeneral di Songkhla untuk dapat kembali ke tanah air,” katanya.

Sementara itu, Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata beliau sudah membentangkan kepada Jemaah Menteri bahawa kesiapsiagaan melalui Jawatankuasa Bencana Pusat dan juga Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) digerakkan bermula 13 Nov lalu bagi musim Monsun Timur Laut (MTL).

“Kini terdapat enam negeri yang terlibat, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang serta sedikit di utara Perak.

“Kita telah mengadakan koordinasi dengan Jabatan Meteorologi Malaysia, JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta agensi penguatkuasaan yang lain agar apabila amaran berpindah itu diberi tiga hari lebih awal daripada jangkaan untuk luruan hujan bertambah dan air meningkat, maka kita harap amaran awal ini dapat dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Calon SPM

Ditanya langkah diambil kerajaan jika terdapat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terperangkap dalam banjir, Zahid berkata Kementerian Pendidikan mempunyai langkah akan dilaksanakan bagi menangani isu terbabit.

Berhubung program hari ini yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, Zahid berkata sebanyak 1,951 orang menyertai tiga acara yang diadakan.

Terdahulu, beliau melepaskan Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah 2025 kategori 5km dan menyempurnakan Program ANMS 2025 membabitkan program Santuni Madani bersama MyCHAMPION serta Gotong-Royong Mega (perangi aedes 2.0 peringkat kebangsaan).

Beliau berkata, terdapat peserta antaranya dari Jerman, Maldives dan Singapura yang menyertai larian Jambatan Sultan Nazrin Shah yang memasuki edisi kedua tahun ini.

“Insya-Allah, program larian itu akan menjadi acara tahunan. Paling penting adalah untuk menjadikan larian itu suatu amalan bagi kesihatan,” katanya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *