Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata Israel secara sistematik menjejaskan perjanjian gencatan senjata melalui serangan maut dan pencerobohan berulang. (Gambar EPA Images)
ISTANBUL: Tentera Israel melakukan 497 pelanggaran terhadap gencatan senjata di Semenanjung Gaza sejak ia berkuat kuasa, mengakibatkan 342 maut dan 875 lain cedera, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Pejabat Media Kerajaan Gaza.
Pejabat media itu menuduh Israel secara sistematik menjejaskan perjanjian berkenaan melalui serangan maut dan pencerobohan berulang.
Menurut pejabat itu, sebanyak 27 pelanggaran direkodkan pada Sabtu, menyebabkan 24 kematian dan 87 kecederaan. Ia menyifatkan corak tindakan itu sebagai ‘pelanggaran terang-terangan’ terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta protokol kemanusiaan yang dilampirkan pada perjanjian gencatan senjata.
Pelanggaran Israel sejak 10 Okt termasuk 142 insiden tembakan yang menyasarkan orang awam, rumah, dan khemah pelarian; 21 pencerobohan darat melangkaui ‘garisan kuning’; 228 serangan udara, artileri, dan darat; serta 100 insiden perobohan rumah dan struktur awam, yang disifatkannya sebagai ‘hukuman kolektif’ dan usaha meluaskan kemusnahan.
Pejabat media itu, berkata 35 penduduk Palestin turut ditahan dalam serbuan dan pencerobohan, sambil menuduh Israel cuba ‘mewujudkan realiti baharu yang berdarah serta mengancam keselamatan dan kestabilan di Semenanjung Gaza’.
Sebelum ini, Pasukan Pertahanan Awam Palestin di Semenanjung Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 22 rakyat Palestin terbunuh pada Sabtu dalam serangan udara Israel menyasarkan rumah dan sebuah kenderaan di beberapa kawasan Gaza, dalam pelanggaran baharu terhadap gencatan senjata.
Israel terus menduduki lebih 50% kawasan Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata, dengan ‘garisan kuning’ memisahkan kawasan penempatan tentera Israel daripada kawasan didiami rakyat Palestin.
Baru-baru ini, tentera Israel meningkatkan semula serangan di sebelah timur garisan kuning, memusnahkan kawasan yang luas dan menjadikan kawasan sekitar semakin berbahaya kepada orang awam.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh hampir 70,000 penduduk Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mencederakan lebih 170,800 individu serta menjadikan wilayah itu hampir keseluruhannya musnah. Serangan itu terhenti di bawah perjanjian gencatan senjata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
