Siar langsung mesyuarat PBT, undi ketua kampung, cadang pemimpin BN

Salleh Said Keruak berkata ketelusan di peringkat kerajaan tempatan akan menjadi fokus BN jika menang.

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) mencadangkan mesyuarat pihak berkuasa tempatan dan majlis daerah di Sabah disiarkan secara langsung untuk meningkatkan ketelusan peringkat bawah.

Bercakap kepada FMT, Bendahari BN Sabah, Salleh Said Keruak, turut menggesa pemilihan ketua kampung dibuat menerusi pengundian oleh penduduk bukan lagi lantikan disokong wakil rakyat.

Mencadangkan dua perkara itu, beliau yang juga calon BN DUN Usukan berkata, langkah terseabut sebagai usaha mewujudkan pentadbiran lebih bertanggungjawab dan mengelakkan syak wasangka seperti salah guna kuasa dan rasuah.

“Saya bagi contoh mesyuarat di pihak berkuasa tempatan dan majlis daerah dibuat terbuka atau dibuat secara langsung membolehkan orang hadir supaya perbincangannya lebih telus.

“Jadi tidak boleh sesuka hati (bertindak atau luluskan projek), contohnya tiba-tiba ada rumah setinggi empat tingkat di depan rumah kita…kalau di negara lain ada proses bantahan tetapi di sini tiada,” katanya.

Katanya, ketelusan di peringkat kerajaan tempatan akan menjadi fokus BN jika menang dalam usaha menghapuskan rasuah.

Mengulas cadangannya supaya pemimpin di peringkat desa dibuat secara pengundian ala pilihan raya, bekas ketua menteri itu berkata ia memerlukan pembentangan enakmen baharu di DUN.

“Sekarang jawatankuasa peringkat kampung dilantik ‘YB’ dan orang politik, kita cadangkan pemilihan supaya rakyat berpuas hati.

“Mereka dapat memilih siapa yang dirasakan layak,” katanya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *