Rombongan universiti, delegasi pelancongan antara terkandas di Hatyai

Kira-kira 4,000 pelancong Malaysia dilaporkan terkandas di Hatyai dan Songkhla selepas hujan lebat menyebabkan banjir di bandar itu.

ALOR SETAR: Seramai 36 pelajar dan empat pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) terkandas di Hatyai, Thailand ekoran banjir di bandar itu hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Ahmad Martadha Mohamed berkata semua mereka berada di sana, bagi mengikuti program Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025.

“Mereka daripada Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) mengikuti program itu bermula Isnin hingga 30 Nov.

“Setakat ini, semua pelajar dan pensyarah pengiring, dilaporkan dalam keadaan selamat dan universiti sedang menyelaras tindakan yang perlu, bagi memastikan urusan kumpulan ini dapat diteruskan dengan baik setelah keadaan kembali pulih,” katanya dalam kenyataan.

Martadha berkata kebajikan dan keselamatan semua pelajar serta staf menjadi keutamaan dan pihak universiti sedang memantau keadaan itu secara berterusan.

Beliau berkata pihaknya turut berhubung rapat dengan Konsulat Malaysia di Hatyai bagi memastikan bantuan dan sokongan dapat diberikan segera.

“Keluarga pelajar dan staf yang terlibat juga dinasihatkan bertenang dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih.

“Perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. UUM komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan semua pelajar serta staf terjamin, khususnya dalam situasi tidak dijangka seperti ini,” katanya.

Sementara itu, seramai 10 anggota rombongan Cuti Cuti Langkawi Sdn Bhd yang berada di Songkhla untuk lawatan jaringan usahasama pakej pelancongan Langkawi-Selatan Thailand sejak semalam turut dilaporkan terkandas.

Pengurus besar syarikat itu Baharin Baharom yang mengetuai rombongan berkenaan berkata mereka memasuki Thailand melalui sempadan Padang Besar semalam, sebelum air mulai naik di sekitar bandar Hatyai pada petang hari yang sama.

“Sejak petang semalam, kami kekal berada di hotel penginapan, kerana banjir mula memenuhi kawasan sekitar. Kira-kira 10 pagi tadi, bekalan elektrik di hotel diputuskan, sebelum pihak hotel memaklumkan bahawa generator akan digunakan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Baharin berkata pihak hotel, dengan kerjasama ejen pelancongan Thailand, turut mengagihkan makanan halal secara percuma bagi makan tengah hari dan makan malam kepada semua pelancong yang terkandas di premis hotel itu.

“Buat masa ini, kami masih menunggu perkembangan terkini daripada pihak berkuasa Thailand. Apa yang menarik, sistem pesanan ringkas digunakan untuk menyalurkan maklumat terkini terus kepada telefon masing-masing,” katanya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *