Indira Gandhi (duduk atas kerusi) tekad enggan berganjak selagi Ketua Polis Negara Khalid Ismail tidak bertemu mereka.
KUALA LUMPUR: Indira Gandhi tekad duduk di atas jalan berhadapan Bukit Aman selepas gagal bertemu Ketua Polis Negara Khalid Ismail.
Tindakan itu dibuat selepas hampir tiga jam menunggu Khalid di luar pekarangan Bukit Aman bagi menyerahkan patung milik anaknya, Prasana Diksa.
Sebelum itu, berlaku sedikit kekecohan apabila kumpulan terbabit enggan menerima wakil Khalid iaitu Ketua Penolong Pengarah D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan.
Wakil kumpulan itu, Pengerusi Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) Arun Dorasamy, berkata pihaknya tidak akan berganjak selagi Khalid tidak tiba.
Mereka yang tiba di Bukit Aman memberi tempoh hingga 2.30 petang kepada Khalid untuk hadir atau mengancam duduk di atas jalan raya.
Terdahulu, kira-kira 11 pagi tadi, Indira bersama lebih 100 individu berarak dari pusat beli-belah Sogo menuju ke Bukit Aman.
Indira dilihat menolak sebuah kereta sorong bayi yang membawa ‘teddy bear’ milik Prasana.
Mereka membawa plakad ‘mana anak saya IGP’, ‘Prasana berhak bersama ibu’, dan ‘IGP, pulangkan anakku’.
Kumpulan itu turut melaungkan ‘tangkap Riduan’, ‘pulangkan Prasana’, dan ‘PDRM berlaku adil’.
Antara yang hadir pada perhimpunan itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran; bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim; bekas pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan dan aktivis sosial Marina Mahathir.
Sebelum itu, Indira dalam ucapannya berkata beliau berjuang hampir 16 tahun mendapatkan anaknya dan perjuangan itu tidak akan berhenti.
“Bila saya akan dapat berjumpa Prasana, adakah ini peluang terakhir saya berjuang demi dia. Terima kasih banyak kerana hadir hari ini untuk menyokong perjuangan ini,” katanya.
Manakala, Marina dalam ucapannya berkata beliau hadir untuk menyokong Indira sebagai seorang ibu.

https://shorturl.fm/apPko