Hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di Songkhla dan Hatyai di Selatan Thailand dilanda banjir. (Gambar X)
PETALING JAYA: Kira-kira 4,000 pelancong Malaysia dilaporkan terkandas di hotel sekitar Songkhla di selatan Thailand akibat jalan raya yang dinaiki air selepas hujan lebat melanda wilayah itu.
Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla, Sitthipong Sitthiprapha berkata pihak berkuasa tempatan mengambil langkah segera dengan menyediakan makanan dan bot bagi memindahkan mereka yang terkandas ke kawasan selamat, lapor Bernama.
“Sejak malam tadi, lebih 4,000 pelancong Malaysia terkandas…mereka terdiri daripada mereka yang ingin pulang ke Malaysia melalui Sadao tetapi jalan utama dari Hatyai ke Sadao terputus kerana banjir, serta mereka yang terkandas di hotel akibat pekan Hatyai dinaiki air,” katanya.
Beliau berkata jumlah kenderaan milik pelancong Malaysia yang ditenggelami air masih belum dapat dipastikan, namun setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Selain itu, hujan yang berterusan sejak Isnin lepas menyebabkan lapan wilayah selatan Thailand dilanda banjir, memaksa hampir 124,003 keluarga berpindah ke kawasan yang lebih selamat.
Sementara itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke wilayah selatan Thailand susulan bencana banjir yang melanda kawasan itu.
“Semua rakyat Malaysia yang berhasrat melancong atau melawat selatan Thailand dinasihatkan supaya menangguhkan perancangan mereka buat sementara waktu ekoran cuaca buruk, hujan lebat berterusan serta banjir yang menjejaskan banyak kawasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Fahmi turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di selatan Thailand agar sentiasa peka dengan perkembangan cuaca, mengikuti pengumuman serta arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa dan menjaga keselamatan diri.
Beliau berkata untuk sebarang bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi pegawai bertugas di talian +66 81 990 1930 atau melalui e-mel mwsongkhla@kln.gov.my.
Sementara itu, Wartawan yang juga penyampai radio Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Langkawi, Wan Nur Asyikin W A’zemim, 33, yang kini terkandas di Hatyai memberitahu Bernama, susu dan lampin pakai buang anak lelakinya berusia sembilan bulan serta makanan untuk anak perempuannya yang berusia lima tahun hampir habis sepenuhnya.
“Saya masuk ke sini (Hatyai) bersama suami, dua anak dan empat lagi rakan sekerja kira-kira 1.30 tengah hari, semalam. Kami datang dengan menaiki pengangkutan awam dari Langkawi ke Padang Besar, Perlis seterusnya ke Hatyai.
“Hujan memang lebat petang semalam dan tidak berhenti tetapi pada masa itu belum banjir. Kira-kira 3 pagi tadi, saya tergerak hati untuk melihat luar hotel kami menginap dan terkejut apabila mendapati air sudah naik dengan cepat,” katanya.
“Anak-anak memang kelaparan, kami tidak sempat beli makanan tambahan dan bekalan keperluan memang bawa cukup-cukup sahaja kerana kami sepatutnya pulang esok. Sekarang, bekalan elektrik di hotel juga terputus selain talian telefon dan Internet tidak stabil.
“Saya telah menghubungi pihak Konsulat Malaysia di sini. Mereka telah maklumkan kepada pihak berkuasa dan bantuan akan dihantar dalam masa terdekat,” katanya.
