PM Anwar Ibrahim berkata, beliau telah keluarkan amaran keras kepada kakitangannya, dan ia seharusnya jadi pengajaran kepada yang lain juga. (Gambar PMO)
JOHANNESBURG: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusannya untuk tidak memecat setiausaha politiknya, Shamsul Iskandar Akin, berhubung isu pengeluaran surat sokongan bagi kontraktor dalam sebuah projek hospital.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, sebarang tindakan terhadap Shamsul perlulah berasaskan keseriusan kesalahannya.
“Adakah (tindakannya) melanggar undang-undang? Adakah projek itu diluluskan berdasarkan suratnya? Tidak,” katanya kepada pemberita dalam penerbangan menuju ke Johannesburg, Afrika Selatan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, yang menyarankan agar beliau bukan sekadar menegur, tetapi memecat Shamsul untuk membuktikan komitmennya memerangi rasuah.
New Straits Times sebelum ini melaporkan Anwar memberitahu Dewan Rakyat pada Selasa, beliau telah menegur setiausaha politiknya kerana peraturan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran surat sokongan sedemikian.
Menurut Anwar, beliau sendiri hanya boleh mencatat ‘sila semak’ walaupun bagi surat yang ditujukan kepadanya, dan kontrak boleh diteliti tetapi tidak diberi sokongan secara ‘automatik’.
Beliau berkata demikian semasa Waktu Pertanyaan Menteri sebagai respons kepada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang membangkitkan isu setiausaha politik Anwar menyenaraikan enam kontraktor dalam surat sokongan bagi projek hospital yang tidak dinyatakan secara khusus.
Rafizi menyifatkan jawapan Anwar kurang ‘umph’, memandangkan surat itu didedahkan tahun lalu, dan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad telah mengesahkan ketulenannya.
Beliau turut menggesa Anwar merujuk Shamsul kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat bila surat itu dikeluarkan dan jika wujud sebarang transaksi wang.
Anwar mengakui surat tersebut wujud, namun kandungannya ditulis secara umum dan tidak bermaksud sebagai arahan untuk meluluskan kontraktor yang dicadangkan.
Beliau kemudiannya menyifatkan Rafizi, yang juga bekas menteri ekonomi, sebagai seorang yang mungkin agak keras pendiriannya, ‘tetapi sekalipun begitu, kita mesti konsisten’.
“Jangan jadi jenis orang yang minta tindakan keras hanya terhadap orang yang kita tidak setuju, kemudian berlembut pula dengan orang di pihak kita,” katanya.
“Jika kita kejar ‘ikan bilis’, kita boleh jadi popular. Tetapi ia tidak mendatangkan kesan yang diharapkan, terutamanya apabila tiada bukti kukuh atau tidak dapat disangkal untuk mewajarkan kes terhadap beliau (Shamsul).”
Anwar berkata, beliau pernah berdepan kes di mana kakitangan bertindak melampaui bidang kuasa mereka dengan mengeluarkan surat sokongan sedemikian untuk projek.
“Jadi, saya telah keluarkan amaran keras kepada kakitangan saya, dan ia seharusnya jadi pengajaran kepada yang lain juga,” katanya.
