Semua calon PN layak diangkat jadi calon KM, kata Kiandee

Ronald Kiandee berkata semua calon yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional pada PRN Sabah layak diangkat sebagai ketua menteri namun ia belum diputuskan lagi.

PUTATAN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Ronald Kiandee menegaskan semua calon yang bertanding di bawah tiket gabungan itu layak diangkat sebagai ketua menteri.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, gabungan itu belum memutuskan siapa bakal dilantik sebagai ketua menteri sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan pada PRN 29 Nov ini.

Ia sekali gus menolak spekulasi nama tertentu sudah dikenal pasti sebagai pilihan utama untuk jawatan tertinggi negeri itu.

“Itu belum diputuskan. Semua orang yang bertanding atas tiket PN layak untuk diangkat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai calon ketua menteri PN selepas pelancaran manifesto PN sempena PRN Sabah.

PN mempertaruhkan 41 calon pada PRN Sabah ke-17.

Sebelum ini, beberapa nama dalam PN dilihat sering disebut-sebut sebagai calon berpotensi, termasuk Kiandee sendiri yang pernah memegang jawatan menteri pertanian dan industri makanan serta merupakan tokoh kanan Bersatu di peringkat pusat dan negeri.

Selain Kiandee, pemimpin seperti Timbalan Pengerusi PN Sabah Aliakbar Gulasan dan beberapa muka profesional yang diketengahkan gabungan itu turut menjadi perhatian dalam kalangan penyokong PN sebagai tokoh yang berwibawa untuk memimpin Sabah.

PRN Sabah pada 29 Nov ini menyaksikan PN antara gabungan utama mencabar GRS dan Warisan, dengan tumpuan diberikan kepada pengundi muda, isu kos sara hidup, serta hala tuju pembangunan negeri.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *