Selepas disiasat kes liwat kucing, warga Nepal dijel kerana separuh bogel

Mahkamah Majistret Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas Arman Shah kerana berpakaian tidak senonoh dan tiga bulan atas kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen sah.

PETALING JAYA: Seorang warga Nepal yang disiasat berhubung kes meliwat dan mencampak seekor kucing Sabtu lalu, dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan berpakaian separuh bogel dan memasuki Malaysia tanpa dokumen sah.

Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin memerintah Arman Shah, 33, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu menjalani hukuman penjara sebulan kerana berpakaian tidak senonoh dan tiga bulan bagi sabitan Akta Imigresen secara berasingan.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa berpakaian separuh bogel di depan seorang lelaki berusia 33 tahun di tingkat empat sebuah pangsapuri di Seksyen 31 Kota Kemuning pada 12.30 tengah malam 15 Nov lalu.

Sinar Harian melaporkan dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua memasuki Malaysia tanpa dokumen sah di lokasi dan masa sama, pengawal keselamatan itu dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Arman yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara minimum, tetapi Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Ariz Zainal Alam mencadangkan hukuman berat sebagai pengajaran.

Dalam kes berasingan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Arman mengaku bersalah di depan Hakim Fatimah Zahari atas satu pertuduhan mendera seekor kucing dengan kejam di lokasi dan masa sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 8 Dis ini untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *