Calon GRS Pengiran Saifudin Pengiran Tahir (kiri) beramah mesra dengan penduduk kampung, Wan Moksin Ratun, ketika kempen dari rumah ke rumah di Kampung Kelahanan. (Gambar Bernama)
PAPAR: Dua calon muka baharu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN Kawang dan Pantai Manis meneruskan pendekatan kempen mereka pada PRN Sabah dengan berkunjung dari rumah ke rumah sebagai strategi utama memikat hati pengundi.
Meskipun dilihat konvensional dalam era digital pada masa ini, kedua-dua calon menyifatkan kaedah itu membolehkan mereka beramah mesra secara langsung dengan pengundi, selain menjadi ruang mendengar segala keluhan dan pandangan mengenai isu setempat di setiap kampung.
Calon BN DUN Kawang Jamal Norubit berkata, kaedah itu mempunyai sentuhan peribadi sekali gus memberi peluang untuk beliau mendapat maklum balas berhubung masalah dihadapi masyarakat di setiap kampung di kawasan itu.
“Ziarah rumah ke rumah lebih dapat sentuhan (peribadi). Yang paling penting, saya dapat menyentuh hati para pengundi. Kita juga lebih dekat dengan mereka. Satu rumah kadang-kadang ada sampai enam hingga tujuh penghuni.
“Selain itu, saya juga mendapat maklum balas mengenai masalah di setiap kampung. Lain kampung, lain masalahnya,” katanya selepas mengunjungi rumah-rumah di Kampung Langsat dan Kampung Sabok, dekat Kinarut, hari ini.
Kaedah sama turut dipraktikkan oleh calon GRS DUN Pantai Manis Pengiran Saifudin Pengiran Tahir yang melihat strategi terbabit masih relevan pada masa ini kerana menjadi pelengkap kepada kempen menerusi media sosial.
“Alhamdulillah, kempen telah berjalan selama seminggu. Pendekatan kita ialah ziarah rumah ke rumah mendekati rakyat. Ini penting, selain ceramah.
“Ini satu cara untuk saya perkenalkan diri selain melalui media sosial,” katanya menambah, ia juga ruang terbaik untuk menyampaikan mesej mengenai pembangunan serta manifesto parti diwakilinya dengan lebih jelas dan berkesan.
Terdahulu, Pengiran Saifuddin menyantuni pengundi di lima rumah sekitar Kampung Kelanahan bersama jentera parti.
DUN Kawang dan Pantai Manis, masing-masing memiliki 23,823 dan 20,026 pengundi, adalah dua daripada tiga DUN dalam Parlimen Papar.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian PRN Sabah, manakala undi awal pada 25 Nov.
