Armizan Mohd Ali berkata ketegasan GRS telah mengubah pendirian Putrajaya berhubung tuntutan 40% hasil Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencadangkan penubuhan platform khas bagi memuktamadkan kadar 40% pemberian khas kepada Sabah selain memastikan semakan dibuat setiap lima tahun.
Timbalan Setiausaha Agungnya Armizan Mohd Ali berkata platform itu berbeza daripada perbincangan umum dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita bukan hanya mahu memuktamadkan jumlah tetapi memastikan semakan setiap lima tahun menggunakan platform khas itu.
“Ini ditegaskan GRS dalam menuntut hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Termasuk paling penting hak 40% geran khas untuk Sabah,” kata Ahli Parlimen Papar itu di Facebook.
Dalam pada itu, Armizan turut memaklumkan pendirian Putrajaya berhubung tuntutan 40% Sabah kini telah berubah selepas pentadbiran sebelum ini menyatakan hak itu telah terhenti berkuat kuasa.
Katanya, perubahan itu disahkan melalui keputusan rasmi kerajaan persekutuan dan diumumkan secara terbuka oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen.
“Sebelum ini, pendirian rasmi kerajaan Persekutuan yang dijawab di Dewan Rakyat menyebut hak 40% ini telah terhenti, walaupun dalam ucapannya ada pemimpin Persekutuan menyebut mengiktiraf dan menghormati hak Sabah.
“Tetapi itu bukan pendirian rasmi kerajaan,” katanya yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.
Bagaimanapun, beliau berkata, pendirian itu berubah hasil ketegasan GRS serta pendekatan libat urus konstruktif antara kerajaan negeri dan persekutuan
Menurut Armizan, Putrajaya kini mengiktiraf, menghormati dan akan melaksanakan hak Sabah memperoleh 40% hasil negeri sebagai asas kepada penentuan amaun pemberian khas itu.
“Ia mengukuhkan momentum perjuangan GRS dalam menuntut hak-hak Sabah,” katanya.
Armizan menegaskan pelaksanaan menyeluruh hak 40% itu bukan sekadar isu fiskal, tetapi juga penting untuk meningkatkan hasil negeri Sabah.
“Ia juga bagi memperkukuh pembangunan ekonomi serta memperbaiki taraf hidup rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan persekutuan akan menunaikan hak Sabah memperoleh 40% daripada hasil yang dikutip dari negeri itu.
Ia selaras dengan hak termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat pertama Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas peringkat pegawai telah diadakan Isnin lalu yang menjadi asas penting dalam usaha mencari penyelesaian muktamad.
