Amirudin pertimbang jawatan persekutuan, cadang Izzah pengganti MB

Amirudin Shari beri bayangan ini mungkin penggal terakhirnya sebagai MB Selangor, cadang Nurul Izzah Anwar sebagai pengganti.

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari membayangkan kemungkinan beliau menyandang jawatan peringkat persekutuan, mencadangkan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar sebagai calon pengganti yang berpotensi.

Beliau berkata, Nurul Izzah yang juga anak kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan memperoleh pengalaman pentadbiran yang berharga jika menerajui Selangor, tanpa mencetuskan tuduhan nepotisme, berbanding jika terus dilantik ke dalam Jemaah Menteri.

“Sebenarnya saya dah kemukakan kepada Izzah sendiri, terpulang kepada beliau untuk menerima cadangan itu atau tidak,” katanya dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap.

Nurul Izzah kini tidak memegang sebarang jawatan wakil rakyat selepas tewas di kerusi Permatang Pauh pada PRU 2022. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat seketika sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri.

Amirudin yang kini dalam penggal keduanya turut mengesahkan beliau sedang mempertimbangkan jawatan peringkat persekutuan.

“Secara peribadi, ya, saya sudah mula pertimbang (pergi ke) peringkat persekutuan. Jika ada peluang jadi menteri, tiada masalah, saya akan cuba yang terbaik. Tetapi buat masa ini, saya akan sudahkan penggal saya sebagai menteri besar,” jelasnya.

Mandat kerajaan Selangor sekarang akan tamat pada 2028. Amirudin sebelum ini pernah menyatakan beliau lebih selesa kekal sebagai menteri besar berbanding memegang jawatan persekutuan.

Jemaah Menteri dijangka dirombak berikutan peletakan jawatan Presiden Upko Ewon Benedick sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi, manakala tempoh senator bagi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz akan tamat bulan depan.

Setakat ini, perdana menteri masih mengunci mulut mengenai kemungkinan rombakan tersebut.

Dua lagi jawatan menteri kekal kosong sejak Mei lepas susulan peletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai menteri ekonomi dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam.

Portfolio berkenaan kini masing-masing dipangku oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dan Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani.

Pintu masih terbuka untuk Rafizi kembali

Mengenai pemilihan PKR, Amirudin mengakui bahawa persaingan antara Rafizi dan Nurul Izzah sedikit memudaratkan, namun menegaskan ia ‘tidaklah serius seperti yang digembar-gemburkan’

Beliau berkata, kemungkinan untuk Rafizi kembali ke arena politik masih ada.

“Saya lihat pintu masih terbuka untuk Rafizi kembali ke dalam parti, walaupun ada yang kata beliau tidak lagi nampak jalannya. Sebelum inipun beliau pernah kembali,” katanya.

“Saya lihat perkara yang sama sekarang. Jika beliau mahu kembali, saya percaya parti akan mengalu-alukannya, berdasarkan pengalaman lalu. Namun jika beliau pilih untuk terus bina kejayaan menerusi perniagaan sosialnya, itu pilihan beliau dan ia wajar dihormati.”

Pada Julai, Rafizi pernah membayangkan kemungkinan beliau akan meninggalkan PKR selepas tamat penggal Parlimen semasa, susulan kekecewaan terhadap budaya dalaman parti.

Katanya, beliau masih belum boleh meninggalkan parti kerana masih memegang mandat pengundi Pandan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *