Hajiji bidas pembangkang ‘abai’ kemajuan Sabah

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Hajiji Noor menggesa pengundi tidak terpengaruh dengan emosi.

KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor membidas pembangkang yang didakwanya enggan mengakui prestasi kerajaan negeri, walaupun peningkatan direkodkan di bawah pentadbiran gabungan itu.

Beliau berkata, keyakinan GRS untuk meraih majoriti mudah pada PRN akhir bulan ini datang daripada hasil ketara yang dicapai sejak lima tahun lalu.

“Kami melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan dalam tempoh lima tahun lalu – bantuan untuk golongan miskin, sokongan buat pelajar dan penambahan biasiswa. Kami juga memeterai perjanjian dengan Petronas.

“Sebelum ini, rizab kita hampir RM3 bilion; kini melebihi RM8 bilion. Kita juga meluaskan bantuan untuk golongan memerlukan, dengan hampir 100,000 orang menerima RM300 sebulan serta rumah percuma.

“Pembangkang boleh kata apa saja mereka nak. Mereka pernah berkuasa di peringkat negeri dan persekutuan. Apa yang mereka lakukan?” soalnya.

Semalam, Hajiji menyuarakan keyakinan GRS dapat memenangi lebih 40 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Sabah ke-17.

Parti pimpinan Hajiji, Gagasan Rakyat bertanding di 35 kerusi, diikuti Parti Bersatu Sabah (11), Usno (dua) dan Parti Cinta Sabah serta Parti Harapan Rakyat Sabah (masing-masing satu).

Sebanyak 55 kerusi dipertandingkan gabungan itu, termasuk 40 yang disandangnya sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 bulan lalu. Dengan memenangi 37 kerusi, ia akan meraih majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Hajiji turut menggesa pengundi tidak terpengaruh dengan emosi kerana pilihan salah akan menjejaskan kemajuan Sabah.

“Jangan salah pilih. Jika anda salah pilih, kita akan hadapi masalah. Kita sudah berada di landasan betul untuk membawa Sabah mencapai kejayaan dan kemajuan lebih besar pada masa depan.

“Saya harap rakyat menilai perkara ini dengan teliti, bukan ikut emosi dan lihat prestasi kerajaan.”

Memetik contoh krisis air Sabah, Hajiji berkata, isu itu diwarisi daripada pentadbiran terdahulu yang didakwanya membebankan negeri dengan obligasi kewangan.

“Mereka menamatkan konsesi. Itulah punca masalah air. Kita kini perlu membayar pampasan RM315 juta. RM315 juta itu boleh digunakan untuk membina jalan dan jambatan kampung.”

Beliau turut menolak dakwaan rasuah baru-baru ini dan video tular menyasarkan pentadbirannya – merujuk skandal perlombongan Sabah – dengan menyifatkan ia bermotifkan politik.

Beliau mengkritik “orang luar” yang didakwanya cuba campur tangan dalam politik Sabah.

Skandal itu membabitkan dakwaan rasuah dikaitkan dengan pengeluaran lesen mencari gali mineral kepada pihak mempunyai hubungan politik.

Kerajaan negeri menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan bebas dan menyeluruh ke atas skandal itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan ketua menteri sementara itu bebas daripada salah laku.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *