Anifah Aman mencabar kerusi Bongawan yang akan dipertahankan Daud Yusof dari Warisan. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Anifah Aman berikrar menjadikan Bongawan sebagai hab minyak dan gas (O&G) baharu Sabah jika diberi mandat pada PRN Sabah bulan ini.
Beliau berkata Bongawan mempunyai potensi besar kerana Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis yang diwujudkan ketika beliau menjadi Ahli Parlimen sudah menjadi pemacu industri tenaga negeri.
Menurutnya, hubungan baik dibina ketika beliau berkhidmat sebagai menteri luar memberi kelebihan untuk membawa pelaburan dan kerjasama antarabangsa ke Bongawan.
“Ini bukan cadangan politik semata-mata. Berdasarkan pengalaman saya dan potensi Bongawan, ia boleh direalisasikan,” katanya dalam kenyataan.
Anifah yakin projek hab O&G itu akan memberi manfaat langsung kepada penduduk dengan pertumbuhan ekonomi pesat serta peningkatan peluang pekerjaan, khususnya dalam sektor teknikal dan perkhidmatan sokongan industri.
Katanya, pembangunan itu juga akan merancakkan pemodenan infrastruktur termasuk jalan raya, logistik, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi untuk menyokong aktiviti industri.
Beliau membayangkan Bongawan mampu muncul sebagai zon strategik baharu seperti Bintulu di Sarawak atau Kemaman di Terengganu jika perancangan itu berjaya.
“Bongawan boleh menjadi pusat industri tenaga Sabah dan dikenali di peringkat nasional,” katanya.
Anifah yang juga presiden Parti Cinta Sabah (PCS) menyeru pengundi memberi mandat baharu kepadanya untuk menyempurnakan agenda pembangunan yang belum tercapai sebelum ini.
“Saya mahu menebus perkara yang tertangguh supaya rakyat Bongawan mendapat pembangunan yang mereka layak terima.”
Beliau berkata hanya dengan sokongan rakyat, usaha menjadikan Bongawan nadi industri tenaga Sabah dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi manfaat terus kepada masyarakat setempat.
Anifah mencabar kerusi Bongawan yang akan dipertahankan Daud Yusof (Warisan). Calon lain Mohamad Alamin (Barisan Nasional), Dolores Michael (STAR) Ridzuan Firdaus (Perikatan Nasional), Royston Adven (Parti Impian Sabah), Md Haris Md Tahir (Bebas), Peter Matinjal (KDM) serta Hussin Dasar Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

https://shorturl.fm/GgEmg