Pada Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mencadangkan perlantikan ke DBKL untuk memperkukuh semak dan imbang dalam pembangunan tanah kerajaan di ibu kota.
PETALING JAYA: Tujuh Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian supaya sistem ahli majlis diperkenalkan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 .
Diketuai Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR, mereka berkata cadangkan pindaan tersebut adalah susulan syor Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi reformasi dalam tadbir urus DBKL.
Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata RUU itu bertujuan antara lain, satu klausa tambahan dalam Akta Ibu Kota Persekutuan bagi penubuhan sebuah majlis, di mana ahlinya dicalonkan Ahli Parlimen dan dipengerusikan oleh datuk bandar.
“Salah satu kaedah praktikal ke arah pendemokrasian yang lebih besar di Kuala Lumpur adalah dengan melaksanakan syor PAC untuk sistem ahli majlis menjadikan datuk bandar memiliki peranan penting tetapi setara dengan ahli-ahli majlis,” katanya kepada pemberita dalam sidang media bersama di Parlimen.
Bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar, turut berkata RUU itu — yang mereka harap akan dapat dibentangkan tahun ini — tidak mencadangkan perubahan besar lain terhadap Akta Ibu Kota Persekutuan.
Pada Ogos, PAC mencadangkan pelantikan ahli majlis ke DBKL untuk memperkukuh semak dan imbang dalam pembangunan tanah kerajaan di ibu kota, sambil menegaskan bahawa peranan lembaga penasihat wilayah persekutuan adalah terhad.
Nik Nazmi berkata jika RUU ini diluluskan, ia akan menunaikan bahagian manifesto PH yang berikrar ‘bekerja keras untuk memperkasakan demokrasi dan ketelusan di DBKL melalui kaedah yang sistematik’. Tambahnya, 10 daripada 11 ahli Parlimen di Kuala Lumpur adalah dari PH.
Menurutnya, usaha itu akan memastikan semua rakyat memiliki perwakilan yang boleh dipercayai, inklusif serta mewakili kepentingan rakyat, bukannya pihak pemaju.
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok pula berkata suara Ahli Parlimen Kuala Lumpur secara tradisi kurang didengari kerana mereka tidak mempunyai peranan dalam DBKL.
Merujuk kontroversi urus niaga tanah berhampiran kolam takungan Kampong Bohol, Kok berkata sistem semasa menghalang mereka menyuarakan kebimbangan penduduk yang diwakili mereka. Beliau berharap RUU itu dapat memperbetulkan perkara tersebut.
Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai berkata Ahli Parlimen menyokong kerajaan pernah membawa cadangan sama kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, namun gagal membuahkan hasil yang diharapkan, menyebabkan mereka mengemukakan RUU Persendirian itu.
“Kami berharap RUU ini akan dibentangkan segera, atau sekurang-kurangnya diambil serius oleh menteri, kerana ia akan meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan dalam DBKL.”
