Warisan buka sedikit ruang kerjasama selepas PRN Sabah

Presiden Warisan Shafie Apdal berkata pihaknya tidak akan bekerjasama dengan gabungan yang berpangkalan di Malaysia Barat untuk membentuk kerajaan negeri.

PETALING JAYA: Warisan masih membuka sedikit ruang kerjasama dengan parti lain selepas PRN Sabah pada 29 Nov, tetapi hanya jika ia memberi manfaat kepada negeri dan rakyatnya.

Presidennya, Shafie Apdal, berkata parti itu tetap mahu bertanding dan membentuk kerajaan negeri secara bersendirian, walaupun ia bergantung kepada sama ada mereka memenangi kerusi mencukupi atau sebaliknya.

Beliau memberitahu program The Breakfast Grille di BFM bahawa langkah itu bagi memastikan kebebasan politik Warisan, sambil menegaskan bahawa ‘sekutu’ parti itu dalam PRN hanyalah rakyat Sabah.

Apabila ditanya sama ada Warisan akan mencari rakan gabungan sekiranya ia gagal mencapai 37 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri, Shafie menjawab: “Kita akan lihat apa keputusan (pilihan raya) nanti.”

Bekas ketua menteri Sabah itu bagaimanapun berkata Warisan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan berpusat di Semenanjung untuk membentuk kerajaan negeri.

Warisan merupakan satu-satunya parti yang bertanding di semua 73 kerusi dalam pilihan raya Sabah, satu pilihan raya sengit yang menyaksikan lebih 20 parti bertanding.

Gabungan pemerintah negeri, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH), dan mempunyai kerjasama berasingan dengan Barisan Nasional (BN).

Shafie, yang berkempen dengan slogan ‘Selamatkan Sabah’, berkata Warisan bertanding secara solo kerana keperluan untuk menyatukan rakyat Sabah.

Beliau berkata politik gabungan telah menyumbang kepada ketidakstabilan di negeri itu, dengan parti-parti politik sentiasa menuntut kerusi atau jawatan dan keluar daripada gabungan apabila tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Menurutnya, Sabah kini begitu berpecah bukan sahaja oleh parti politik, tetapi juga oleh ’emosi, bangsa dan agama’.

Jika Warisan membentuk kerajaan negeri dan beliau menjadi ketua menteri, Shafie berkata tumpuannya adalah membina semula institusi negeri dan sistem penyampaian.

Beliau berkata negeri di Malaysia Timur itu memerlukan pembaharuan segera selepas bertahun-tahun kegagalan pentadbiran, skandal rasuah dan kegagalan dalam menyediakan perkhidmatan asas.

“Perubahan struktur perlu dilakukan,” katanya.

Ditanya sama ada pengundi muda mungkin lebih memihak kepada pemimpin baharu, Shafie berkata beliau menerima kritikan terhadap kepimpinan lalu dan mengakui perlunya pembaharuan.

“Kita harus mengakui bahawa kita telah melakukan beberapa kesilapan,” tambahnya.

Pada PRN Sabah 2020, Warisan memenangi 23 daripada 46 kerusi yang ditandinginya, manakala PH dan Upko, yang ketika itu menjadi sekutunya, masing-masing memenangi lapan dan satu kerusi.

Majoriti mudah sebanyak 37 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

Selepas beberapa siri tindakan lompat parti, Warisan hanya tinggal 14 kerusi sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lalu.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *