Bekas pegawai bank, Maziah Hanum Hamidon, mengaku salah atas pertuduhan gagal lapor rasuah daripada sebuah firma guaman di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
SHAH ALAM: Bekas pegawai bank didenda RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan kerana gagal melaporkan rasuah daripada sebuah firma guaman.
Maziah Hanum Hamidon, 43, didakwa gagal melaporkan kepada pihak berkuasa dengan segera, seperti dikehendaki mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, selepas menerima RM6,331 daripada firma itu melalui lima transaksi, antara 20 Julai 2021 dan 16 Mac 2023.
Bayaran berkenaan sebagai ganjaran kerana mengesyorkan firma itu untuk menyediakan perjanjian pembiayaan perumahan atau kedai komoditi Murabahah-i bernilai RM1.46 juta, satu perbuatan yang melanggar Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. Seksyen berkenaan berkaitan kesalahan meminta atau menerima rasuah sebagai suatu dorongan.
Kesalahan itu berlaku di sebuah cawangan bank di Shah Alam.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud turut memerintahkan Maziah menjalani hukuman penjara 17 bulan sekiranya dia gagal membayar denda.
Maziah, yang masih bujang, memohon denda minimum atas alasan telah meletakkan jawatan dan masih mencari pekerjaan. Dia memberitahu mahkamah bahawa bapanya meninggal dunia pada Januari lalu dan mempunyai seorang adik yang masih menuntut di universiti.
Namun, Awang menegur tertuduh kerana tidak menunjukkan rasa insaf ketika memohon hukuman yang lebih ringan. Dia kemudian menzahirkan kekesalan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip mewakili pihak pendakwaan dengan Maziah tidak diwakili peguam.
