Azmin umum pemimpin baharu Bersatu Selangor

Ketua Bersatu Selangor, Azmin Ali, kata barisan kepimpinan baharu akan bawa semangat segar dalam memperkukuh jentera parti. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ketua Bersatu Selangor, Azmin Ali, mengumumkan pelantikan baharu dalam saf kepimpinan negeri susulan pemecatan dua ketua bahagian.

Azmin mengumumkan pelantikan bagi beberapa jawatan penting itu selaras fasal 16.5 perlembagaan Bersatu, katanya.

Beliau memperkenalkan Rosnizan Ahmad sebagai setiausaha badan pimpinan negeri, Jumiah Jonet sebagai bendahari, dan Wan Dzahanurin Ahmad sebagai ketua penerangan — masing-masing ketua bahagian Kuala Langat, Kapar, dan Kota Raja.

Azmin turut melantik Noorazley Yahya sebagai pengarah komunikasi dan media baharu, bagi merealisasikan matlamat memperhebat program penerangan dan komunikasi kepada rakyat.

“Barisan kepimpinan baharu ini akan membawa semangat segar dalam memperkukuh jentera parti, memperhebatkan usaha mendekati rakyat, dan memperkasa mesej perjuangan Bersatu dan Perikatan Nasional sebagai wadah politik rakyat,” menurut kenyataan.

Pelantikan ini menyusuli pemecatan keahlian Suhaimi Ghazali dan Shukor Mustaffa – masing-masing ketua bahagian Sepang dan Puchong — oleh lembaga disiplin, didakwa kerana melanggar fasal 9.1.4 perlembagaan Bersatu serta kod etika dan tatakelakuan ahli.

Suhaimi sebelum ini memegang jawatan Setiausaha Bersatu Selangor, manakala Shukor adalah Ketua Penerangan.

Kedua-dua mereka disiasat susulan aduan, dan dipanggil untuk suatu sesi pendengaran pada 30 Oktober. Mereka diberi tempoh 14 hari untuk merayu keputusan tersebut.

Pemecatan mereka menyusuli siri tindakan disiplin dalam Bersatu, termasuk pemecatan Ahli Majlis Tertinggi Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada bulan lepas.

Empat ketua bahagian lain dari Hang Tuah Jaya, Pengerang, Ipoh Timur, dan Ampang turut dipecat.

Author:

1 thought on “Azmin umum pemimpin baharu Bersatu Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *