Anwar diberi sambutan rasmi di Istana Negara Ethiopia

PM Anwar Ibrahim kini berada di Addis Ababa untuk lawatan 3 hari, menerima sambutan rasmi di Istana Negara Ethiopia. (Gambar Facebook)

ADDIS ABABA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi di Istana Negara, yang juga dikenali sebagai Istana Jubli, sebuah bangunan bersejarah di pusat bandar Addis Ababa.

Ketibaan beliau disambut rakan sejawatnya Abiy Ahmed Ali, dan kedua-dua pemimpin bergerak ke pentas khas, dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum Anwar memeriksa kawalan kehormatan.

Sejurus kembali ke pentas khas, kedua-dua pemimpin menyaksikan lintas hormat barisan kawalan kehormatan serta pasukan pancaragam.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia Mohd Afandi Abu Bakar.

Selepas itu, kedua-dua pemimpin bergerak ke tapak yang disediakan bagi Upacara Menanam Pohon Persahabatan, menyaksikan mereka masing-masing menanam pokok kelapa sawit disediakan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Sementara itu, di Muzium Kereta yang terletak berhampiran Istana Negara, Anwar diperlihatkan koleksi kenderaan milik Maharaja Haile Selassie termasuk dua gerabak lokomotif yang dihadiahkan kepada baginda.

Haile Selassie merupakan Maharaja Ethiopia dari 1930 hingga 1974.

Perdana menteri turut diperlihatkan memorabilia dan koleksi peribadi Maharaja Haile Selassie.

Susulan upacara di Istana Negara, Anwar dan Abiy Ahmed mengadakan pertemuan empat mata.

Anwar dan Abiy Ahmed juga akan mengadakan sidang media bersama dan acara lawatan hari ini berakhir dengan majlis makan malam rasmi anjuran perdana menteri Ethiopia.

Lawatan tiga hari Anwar ke negara Afrika itu adalah yang pertama bagi perdana menteri Malaysia dan juga lawatan balas susulan kunjungan rasmi Abiy ke negara ini pada Oktober tahun lepas.

Lawatan itu meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara yang telah terjalin sejak Januari 1965.

Sementara itu, Anwar berkata, menerima sambutan rasmi penuh istiadat di Istana Negara Ethiopia termasuk pemeriksaan kawalan kehormatan, benar-benar mencerminkan penghormatan mendalam dan persahabatan erat antara kedua-dua negara.

“Pengalaman ini amat bermakna, namun yang lebih mengesankan ialah komitmen serta iltizam kepimpinan Ethiopia hari ini dalam memelihara dan memanfaatkan tinggalan sejarah itu, agar terus disaksikan, difahami dan dikaji oleh anak-anak muda, supaya warisan besar bangsa ini terus hidup, segar dan memberi erti,” katanya dalam kenyataan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *