Di peringkat global, Universiti Malaya menduduki tempat ke-166 daripada 2,001 institusi, kukuh dalam kelompok 9% teratas universiti paling mampan di dunia dan ke-16 di Asia, menurut Quacquarelli Symonds World University Rankings: Sustainability 2026.
KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) mengekalkan kedudukan universiti terbaik di Malaysia untuk tahun ketiga berturut-turut dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Sustainability 2026.
UM dalam kenyataan semalam memaklumkan, di peringkat global, ia menduduki tempat ke-166 daripada 2,001 institusi, kukuh dalam kelompok 9% teratas universiti paling mampan di dunia dan ke-16 di Asia.
“Dengan skor keseluruhan yang mengagumkan sebanyak 85.4 daripada 100, prestasi UM mencerminkan komitmen tinggi untuk menyemat kemampanan merentasi penyelidikan, pengajaran, tadbir urus dan penglibatan komuniti,” menurut kenyataan itu.
QS World University Rankings: Sustainability menilai sejauh mana universiti menangani cabaran alam sekitar global dan sosial mendesak, berpandukan metrik selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
UM memaklumkan universiti itu juga cemerlang dalam kategori kesan sosial, menduduki tempat ke-10 di Asia dan ke-163 di peringkat global, didorong pencapaian luar biasa dalam pertukaran pengetahuan (kedudukan ke-71, skor 97.4) serta kebolehgajian dan peluang (kedudukan ke-99, skor 96.5).
Dalam kategori kesan alam sekitar, UM menduduki tempat ke-177 di peringkat global serta ke-35 di Asia, dan mengekalkan kedudukan terbaik di negara ini dalam tadbir urus, tempat ke-397 di peringkat global.
Naib Canselor UM, Prof Noor Azuan Abu Osman, berkata pencapaian ini mencerminkan komitmen teguh UM terhadap kelestarian dan tanggungjawab kolektif untuk membentuk hala tuju baharu bagi kemakmuran global untuk semua, termasuk generasi masa depan.
“Kami akan terus memajukan agenda SDG serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui kecemerlangan penyelidikan, pendidikan inklusif dan tadbir urus bertanggungjawab, memastikan UM bukan saja cemerlang di peringkat global, tetapi juga memacu impak bermakna bagi kemanusiaan dan alam sekitar.”
Menurutnya, peningkatan berterusan UM dalam QS Sustainability Rankings mengukuhkan peranannya sebagai perintis di peringkat nasional dan serantau, memperjuangkan perubahan transformatif dan menyumbang kepada wawasan Malaysia untuk masa depan yang mampan, inklusif serta berdaya tahan.
