Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup (empat dari kanan) bersama Rushdy Raphael dan seluruh kepimpinan Pemuda PBS Sook yang keluar parti untuk sertai PBRS.
KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Sook, Rushdy Raphael, mengesahkan meletak jawatan dalam parti itu untuk menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), komponen Barisan Nasional (BN) hari ini.
Rushdy bersama seluruh kepimpinan Pemuda PBS Sook menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup, dalam satu majlis di Kampung Barai di Keningau.
Arthur yang juga calon BN di DUN Sook berkata penghijrahan Rusdhy bersama kepimpinan Pemuda PBS Sook membuktikan PBRS konsisten memperjuangkan masa depan anak muda di pedalaman Sabah.
Katanya, tindakan Rusdhy menyertai PBRS bukan kerana dijanjikan jawatan, sebaliknya memberi ruang dan peluang lebih baik kepada beliau untuk memimpin belia tempatan.
“Anak muda tidak lagi yakin dengan hala tuju, pendekatan dan kepimpinan parti tersebut yang dilihat semakin hilang taring dalam memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
DUN Sook, antara tiga DUN di bawah Parlimen Pensiangan. Dua lagi DUN ialah Tulid dan Nabawan.
