Perbincangan peringkat pegawai mewakili Sabah dan Putrajaya semalam antara lain berkaitan cara menyelesaikan pembayaran 40%, menurut Ketua Menteri Hajiji Noor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Ketua Menteri Hajiji Noor yakin rundingan pengembalian 40% hasil bersih Sabah dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan, seperti diperintahkan mahkamah.
Beliau menerangkan penentuan mekanisme agak teknikal dan memerlukan beberapa perbincangan sebelum kerajaan negeri dan persekutuan mencapai persetujuan.
“Jadi perinciannya tidak dapat dijelaskan sekarang. Jadi kita tunggulah, mereka mungkin bincang berkali-kali baru dapat capai persetujuan,” katanya menurut siaran media Jabatan Ketua Menteri.
Tambahnya, kerajaan negeri meminta kerajaan persekutuan maklumkan agihan peruntukan dan tanggungjawab Putrajaya kepada Sabah.
Hajiji mengulas perkembangan rundingan, yang bermula semalam menerusi perbincangan peringkat pegawai diketuai setiausaha kerajaan negeri (SKN) bagi pihak kerajaan Sabah dengan ketua setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan mewakili kerajaan persekutuan.
Katanya, perbincangan di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu itu antara lain berkaitan mekanisme, atau cara menyelesaikan pembayaran.
“Jadi kita tunggulah, sekarang ia di peringkat pegawai… Kita ada masa lagi, mahkamah bagi kita tiga bulan, 90 hari untuk bincang baru diputuskan kerajaan Persekutuaan dan negeri nanti,” katanya, selepas program di DUN Tempasuk dan Usukan.
Pada program hari ini, Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah beritahu hadirin bahawa beliau tidak takut berunding dengan kerajaan persekutuan berhubung hak Sabah.
“Malah dalam mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963, saya yang paling banyak bercakap,” katanya.
“Perdana menteri pun kata Hajiji nampak saja sentimental, tapi dalam mesyuarat banyak cakap. Tapi saya diam saja (tidak heboh-heboh) pasal perkara ini kerana itu cara saya.”
Semalam, dalam kenyataan bersama, kerajaan persekutuan dan Sabah memaklumkan mesyuarat peringkat pegawai menumpukan kajian semula nilai pemberian khas Sabah selaras Perkara 112C dan 112D Perlembagaan, berikutan perintah Mahkamah Tinggi pada 17 Okt.
Mesyuarat dipengerusikan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong bagi pihak kerajaan Sabah, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican mewakili kerajaan persekutuan.
Turut hadir Peguam Besar Sabah Brenndon Keith Soh, Pengarah Belanjawan Negara Ab Rahim Ab Rahman, Ketua Bahagian Penyelidikan Jabatan Peguam Negara Marzaitul Azura Mokhtar, serta Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Saiful Sungkih Abdullah.
Pada 17 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil bersih persekutuan di negeri itu hampir empat dekad.
Mahkamah mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan, berhubung tuntutan pemberian khas 40% hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.
