Sebuah pengendali ambulan milik sebuah NGO di Pulau Pinang mendakwa mereka mendapat panggilan kecemasan mendakwa talian kecemasan NG MERS 999 tak dapat dihubungi.
PETALING JAYA: Laporan mengenai orang ramai menghadapi masalah mendapatkan perkhidmatan ambulans selepas pertukaran kepada sistem NG MERS 999 yang baharu hanyalah insiden terpencil, menurut kerajaan dan Telekom Malaysia (TM).
Kementerian kesihatan dan komunikasi serta TM, yang mengendalikan sistem baharu itu secara bersama, mengesahkan NG MERS 999 beroperasi seperti biasa.
“Bagaimanapun, perkara ini ditangani secara serius dan dengan kadar segera kerana setiap panggilan kecemasan melibatkan nyawa dan kesejahteraan rakyat,” kata TM dalam satu kenyataan.
Katanya, prosedur sistem itu menyalurkan kes menggunakan prinsip ‘nearest available’ bagi memastikan aset kecemasan terhampir dapat digerakkan secepat mungkin.
Terdahulu, FMT melaporkan gangguan talian hotline 999 baharu dan aplikasinya. Isu itu dibangkitkan pengendali ambulans NGO di Pulau Pinang, yang berkata mereka menerima panggilan mengatakan talian kecemasan baharu, NG MERS 999 sukar dihubungi.
Sebuah pengendali berkata mereka yang meminta bantuan terpaksa menunggu selama berjam-jam untuk ambulans, sementara beberapa ambulans lain pula dilihat tiba serentak di lokasi yang sama.
Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) mula beroperasi 16 Nov lalu, ialah sistem hotline kecemasan baharu yang dibangunkan bagi menggantikan sistem MERS999.
Kementerian dan TM berkata respons di lapangan terus dipertingkatkan melalui penambahan ambulans, penyusunan semula penugasan petugas di kawasan strategik, serta penglibatan badan sukarela seperti Bulan Sabit Merah Malaysia.
Katanya, perkhidmatan 999 melalui panggilan suara kekal berfungsi sepenuhnya dan boleh digunakan seperti biasa manakala aplikasi SaveME999 pula berfungsi sebagai saluran tambahan.
