FAM didakwa mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam 10 Jun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Fifa mengarahkan sekretariatnya memaklumkan pihak berkuasa jenayah di Malaysia, antara beberapa negara lain, bagi memulakan siasatan atas dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain bola sepak naturalisasi kerana pemalsuan ialah kesalahan ‘hampir dalam semua bidang kuasa’.
Dalam penghakiman bertulis yang menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung perkara itu, badan induk bola sepak dunia menyifatkan integriti dokumen rasmi sebagai “suci” dan pemalsuannya ialah kesalahan boleh dihukum.
Menurutnya, ia turut mengarahkan sekretariatnya memaklumkan pihak berkuasa jenayah di Brazil, Argentina, Belanda dan Sepanyol.
“Penting untuk memaklumkan pihak berkuasa berkaitan supaya siasatan dan prosiding jenayah sewajarnya dapat dijalankan.”
Gesaan Fifa untuk pihak berkuasa memulakan siasatan jenayah menyusul sebulan selepas Ramkarpal Singh daripada DAP menyeru polis menyiasat dakwaan Fifa ke atas FAM mengemukakan dokumen palsu dalam kontroversi berkaitan naturalisasi tujuh pemain.
Bekas timbalan menteri undang-undang itu dilaporkan berkata, polis perlu memanggil pemain dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara terbabit dalam skandal itu kerana ia telah mencemarkan reputasi negara.
“Siasatan sedemikian perlu dijalankan segera, bukan saja untuk menentukan sama ada dakwaan pemalsuan oleh Fifa benar, tetapi juga bagi menentukan sama ada kesalahan bawah Kanun Keseksaan telah dilakukan, khasnya kesalahan berkaitan membuat pengisytiharan palsu.”
Penghakiman bertulis Fifa muncul dua minggu selepas ia menolak rayuan FAM terhadap sekatan ke atas badan bola sepak kebangsaan dan tujuh pemain terbabit, yang mungkin menyaksikan skuad negara digugurkan mata dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 sedang berlangsung.
FAM dan tujuh pemain bola sepak itu dihukum Fifa selepas badan induk bola sepak dunia itu mendakwa FAM mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia menentang Vietnam 10 Jun lalu.
FAM didenda 350,000 franc Switzerland (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Switzerland (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh pemberitahuan.
Tujuh pemain itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
