Jawatankuasa Rayuan Fifa mengarahkan sekretariat Jawatankuasa Tatatertib Fifa menyiasat operasi dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia. (Gambar AFP)
PETALING JAYA: Fifa akan melancarkan siasatan rasmi terhadap operasi dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengenal pasti individu bertanggungjawab atas pemalsuan sijil kelahiran dikaitkan dengan tujuh pemain naturalisasi.
Siasatan itu juga akan menilai kecukupan dan keberkesanan mekanisme pematuhan serta tadbir urus dalaman FAM, selain menentukan sama ada langkah tatatertib tambahan perlu diambil terhadap pegawai FAM.
“Sebagai fokus awal, siasatan mesti mengkaji peranan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dan dua ejen Fifa berlesen yang dinamakan dalam prosiding ini: Nicolas Puppo dan Frederico Moraes,” menurut Jawatankuasa Rayuan Fifa.
“Pembabitan mereka menimbulkan kebimbangan serius yang memerlukan penelitian menyeluruh.”
Jawatankuasa Rayuan Fifa mengarahkan sekretariat Jawatankuasa Disiplin Fifa menjalankan siasatan.
Awal bulan ini, Jawatankuasa Rayuan Fifa mengekalkan sekatan ke atas FAM dan tujuh pemain bola sepak Malaysia dinaturalisasikan yang dihukum Fifa September lalu, selepas badan bola sepak dunia itu berkata FAM mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun.
FAM didenda 350,000 franc Switzerland (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Switzerland (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Jawatankuasa Rayuan Fifa menolak rayuan FAM berhubung perkara itu 3 Nov lalu, dengan penghakiman bertulis disediakan hari ini.
Kontroversi itu juga menyaksikan FAM menggantung Noor Azman sebagai setiausaha agung.

I really needed this today. Thank you for writing it.
Posts like this are why I keep coming back. It’s rare to find content that’s simple, practical, and not full of fluff.