Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan berharap segala kekusutan antara BN dan MIC dalam diselesaikan dalam pertemuan tersebut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi MIC selepas PRN Sabah ke-17, kata timbalan pengerusi gabungan itu, Mohamad Hasan.
Mohamad berkata perbincangan itu bagi menjernihkan sebarang kekeliruan atau salah faham berkaitan kedudukan parti berkenaan dalam BN, lapor Bernama.
“Saya sendiri akan berusaha untuk berjumpa dengan kepimpinan tertinggi MIC agar kita dapat menyelesaikan segala kekusutan,” katanya kepada pemberita di Membakut, Sabah.
Katanya, beliau yakin kepimpinan tertinggi MIC akan memikirkan sebaik mungkin kerana parti itu bersama-sama dengan Umno dan MCA semasa memerdekakan tanah air.
“Jadi, jika ada apa-apa salah faham atau perkara yang perlu dijelaskan… elok kita bawa berunding supaya persahabatan yang telah lama terbina ini tidak terputus begitu saja,” katanya.
Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir menegur Presiden MIC SA Vigneswaran kerana secara terbuka mengkritik Pengerusi BN Zahid Hamidi kerana didakwa mengabaikan kepentingan parti itu.
Zambry menyifatkan kenyataan Vigneswaran pada mesyuarat agung tahunan MIC baru-baru ini sebagai ‘sesuatu yang tidak wajar’.
Pada AGM Ahad lalu, Vigneswaran menyalahkan Zahid kerana gagal mempertahankan kepentingan MIC dan berkata perkara itu menjadi punca parti tersebut terus dipinggirkan dalam kerajaan ketika ini.
Pada hari sama, perwakilan MIC sebulat suara bersetuju menangguhkan sebarang keputusan untuk keluar daripada BN dan menyerahkan kepada jawatankuasa kerja pusat serta presiden parti.
