Selangor FC dikenakan hukuman beraksi dua perlawanan tanpa penonton bagi saingan Piala FA dan didenda RM100,000 oleh jawatankuasa tatatertib FAM. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) akan memfailkan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), selepas ia dihukum atas kejadian ketika aksi suku akhir Piala FA pada 29 Okt lalu.
Selangor FC berharap rayuan dapat dipertimbangkan sebelum perlawanan timbal balik separuh akhir, dijadualkan pada 30 Nov.
“Selangor FC akan memfailkan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM. Rayuan ini akan didengari semula secara menyeluruh,” menurut kenyataan.
Jawatankuasa Tatatertib FAM mengumumkan Selangor FC dikenakan hukuman beraksi dua perlawanan tanpa penonton bagi saingan Piala FA dan didenda RM100,000, kelmarin.
Perkembangan itu menyusuli kejadian ketika perlawanan antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC, pada 29 Okt lalu di Stadium MBPJ.
Pengerusi Baljit Singh Sidhu berkata Selangor FC dikenakan lima pertuduhan, antaranya, penyokong didakwa melakukan pembakaran mercun, merosakkan dan melontarkan bangku yang mengakibatkan kecederaan kepada dua penyokong Negeri Sembilan FC, dan melakukan provokasi yang mengakibatkan kekecohan antara penyokong.
Satu lagi pertuduhan menyatakan seorang VVIP membaling bekas minuman plastik ke arah keluarga pemain pasukan Negeri Sembilan FC, lapor Berita Harian.
Dalam kenyataan hari ini, Selangor FC berkata penyokongnya tidak terlibat dalam insiden membakar dan melempar mercun, tidak merosak atau melontarkan bangku yang mengakibatkan kecederaan kepada penyokong pelawat, dan tidak membuat provokasi yang mengakibatkan kekecohan di dalam stadium.
Katanya lagi, tiada tetamu berstatus VVIP yang melontar bekas minuman plastik ke kawasan tempat duduk keluarga pasukan pelawat.
“Selangor FC tidak sesekali menyokong sebarang tingkah laku yang boleh mengancam keselamatan semua pihak,” katanya.
“Stadium dan perlawanan bola sepak seharusnya menjadi ruang yang selamat untuk semua penyokong dan penonton menikmatinya dengan aman.”
