Sambungan paip haram, pemilik kilang ais didenda RM50,000

Mahkamah Sesyen Kota Bharu turut memerintahkan tertuduh dipenjara setahun, jika gagal membayar denda itu.

KOTA BHARU: Seorang pemilik kilang pengeluaran ais didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku membuat sambungan paip milik Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) secara haram.

Hakim Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Yusrid Mohd Yusof, 33, dan memerintahkan dia dipenjara setahun, jika gagal membayar denda.

Yusrid didakwa melakukan kesalahan itu di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada 7 Jun 2018 mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Suhaidariah Ahmad, manakala Yusrid tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Yusrid memohon denda minimum, manakala Suhaidariah meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kes itu serius dan menyebabkan AKSB menanggung kerugian besar.

Beliau berkata, penyambungan haram itu dilakukan selama 17 bulan dan menyebabkan AKSB mengalami kerugian RM41,337.20.

Menurutnya, tindakan Yusrid turut menyumbang kepada peningkatan peratusan air tidak terhasil (NRW) di Kelantan.

“Peningkatan NRW akan mengakibatkan AKSB mengalami masalah kekurangan daripada segi modal untuk menambah baik infrastruktur sistem bekalan air, terutamanya penyenggaraan paip usang.

“Oleh itu, denda setimpal perlu dikenakan memandangkan orang kena saman seorang yang mampu, selain selaku pemilik tunggal kilang berkenaan.”

Author:

3 thoughts on “Sambungan paip haram, pemilik kilang ais didenda RM50,000

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *