Perdana Menteri Anwar Ibrahim di jadual melawat Addis Ababa, Ethiopia bermula esok hingga Khamis.
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan memulakan lawatan rasmi ke Addis Ababa, Ethiopia esok hingga 20 Nov, menjadikannya lawatan pertama oleh seorang perdana menteri Malaysia ke negara Afrika itu.
Pemangku Kuasa Usaha Malaysia di Ethiopia, Afandi Abu Bakar, berkata Anwar akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa serta pegawai kanan kerajaan.
“Lawatan ini susulan undangan daripada Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed Ali, yang melawat Malaysia pada Oktober tahun lalu.
“Ia amat bermakna dan bersejarah kerana ia menandakan lawatan rasmi pertama oleh perdana menteri Malaysia ke Ethiopia.
“Lawatan ini juga sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Ethiopia yang terjalin pada 1965,” kata Afandi pada sidang media yang disiarkan secara langsung dari Addis Ababa.
Afandi Abu Bakar.
Afandi berkata lawatan rasmi perdana menteri ke Ethiopia itu menyusuli pembukaan semula Kedutaan Malaysia di Addis Ababa pada 23 Sept lalu, melambangkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Ethiopia.
Kedutaan Malaysia di Addis Ababa pertama kali dibuka pada 1965 tetapi ditutup pada 1983 berikutan hubungan tegang dengan rejim tentera ketika itu.
Beliau berkata dengan kestabilan dan pertumbuhan pesat Ethiopia, pembukaan semula kedutaan itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala, tetapi turut membuka ruang kepada kerjasama pelbagai hala dengan Kesatuan Afrika (AU), iaitu badan 55 negara benua Afrika.
Anwar dan Abiy Ahmed dijangka membincangkan hubungan dua hala serta meneroka ruang baharu untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertanian, komoditi, kesihatan, pelancongan serta pendidikan.
Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pelancongan dan kesihatan serta pemeteraian perjanjian perkhidmatan udara.
Mereka juga dijangka menyaksikan penandatanganan dokumen kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pentadbiran Addis Ababa, serta pertukaran nota diplomatik mengenai rundingan dua hala.
Perdana menteri turut dijadualkan bertemu Presiden Ethiopia, Taye Atske-Selassie Amde, yang juga akan menghadiri forum perniagaan peringkat tinggi Malaysia-Ethiopia.
Anwar dijangka bertemu Pengerusi Suruhanjaya AU Mahamoud Ali Youssouf dan wakil AU yang lain, serta menyampaikan syarahan khas kepada Kesatuan Belia Pan-Afrika dan Majlis Belia Ethiopia.
Meneroka peluang baharu
Walaupun perdagangan dua hala Malaysia-Ethiopia meningkat kukuh sebanyak 40.1% pada 2024 kepada RM626 juta, jumlah itu masih kecil, dan lawatan rasmi ini bertujuan meneroka potensi yang belum diterokai.
Menurut Wisma Putra, pasaran halal domestik Ethiopia merupakan fokus utama pengeluar dan pelabur halal Malaysia, dengan penganut Islam merangkumi 34.6% daripada 127 juta penduduk negara itu.
“Lawatan rasmi ini bertujuan memeterai program strategik bantuan teknikal melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang dirangka untuk membantu Ethiopia mewujudkan sistem pensijilan halal yang serasi dengan piawaian Malaysia.
“Ini akan memudahkan kemasukan produk dan pelaburan Malaysia, selain berpotensi menjadikan Ethiopia sebagai pintu masuk halal ke wilayah Tanduk Afrika,” katanya.
Tambahnya, Malaysia juga berhasrat membuka laluan perdagangan baharu untuk membawa produk berkualiti Ethiopia seperti kopi istimewa, bijian minyak, kekacang, hasil segar serta barangan kulit dan tekstil ke pasaran Asean, dengan Malaysia sebagai pintu utama.
Selain itu, lawatan rasmi ini juga menonjolkan 50 tahun kepakaran Malaysia dalam sektor semikonduktor bagi menggalakkan pembangunan bersama, seiring aspirasi teknologi Ethiopia.
Lawatan ini turut menekankan usaha memperkukuh keupayaan keselamatan siber serta mencadangkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pertanian, khususnya tanaman tahan kemarau untuk menangani isu keselamatan makanan.
Anwar kemudiannya akan ke Johannesburg, Afrika Selatan, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 dari 20 hingga 23 Nov, sebelum meneruskan lawatan rasmi ke Nairobi, Kenya, dari 23 hingga 25 Nov.
