KPKT lapor SKMM berhubung dakwaan saji minuman alkohol

KPKT berkata, penularan maklumat tidak sahih dan mengelirukan susulan majlis rasminya pada 8 Nov lepas berpotensi cemar imej kementerian serta reputasi tetamu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung dakwaan minuman beralkohol dihidangkan pada acara rasminya.

Menurut KPKT, dakwaan yang tular di beberapa laman Facebook itu dilihat sebagai cubaan mewujudkan persepsi negatif terhadap penggunaan gelas berkaki untuk sejenis minuman semasa majlis anugerah cemerlang kementerian itu pada 8 Nov.

“Minuman ‘Cucumber Apple Slider’ yang disajikan kepada para tetamu merupakan minuman ringan berkarbonat dan tidak mengandungi sebarang alcohol.

“Penyediaannya dalam gelas berkaki adalah selaras dengan standard katering yang lazim digunakan untuk majlis berprotokol,” kata kementerian itu dalam kenyataan di Facebook semalam.

Kementerian berkata, pihaknya memandang serius penyebaran maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan kerana ia boleh menjejaskan imejnya serta reputasi para tetamu.

“Sehubungan itu, KPKT telah membuat laporan kepada SKMM berhubung tohmahan yang ditularkan untuk siasatan lanjut,” katanya.

“Orang ramai dinasihatkan agar merujuk kepada kementerian terlebih dahulu dan tidak membuat sebarang spekulasi tanpa usul periksa.”

Beberapa pengguna TikTok dan Facebook berkongsi klip yang menunjukkan menterinya, Nga Kor Ming, sedang menyapa tetamu di majlis makan malam itu. Turut kelihatan dalam klip video yang tular, seorang pelayan menghidangkan minuman dalam gelas berkaki.

Author:

3 thoughts on “KPKT lapor SKMM berhubung dakwaan saji minuman alkohol

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *