Ahli Parlimen pembangkang cadang bengkel dan perkhidmatan baik pulih kenderaan di kawasan rehat dan rawat (R&R) lebuh raya.
PETALING JAYA: Kerajaan dicadang mewujudkan bengkel dan perkhidmatan baik pulih di setiap plaza tol atau kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi membantu pengguna jalan raya khususnya penunggang yang sering berdepan kerosakan motosikal ketika berada di lebuh raya.
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, ramai penunggang menghadapi kesukaran apabila motosikal rosak secara tiba-tiba dalam perjalanan dan terpaksa mendapatkan bantuan di luar lebuh raya yang mengambil masa lama selain boleh membahayakan keselamatan.
“Sebab kita dapati banyak kenderaan-kenderaan yang rosak terutama motosikal yang sukar untuk dibaiki ketika ia rosak tengah jalan. Sebelum kenderaan itu masuk lebuh raya, motor (motosikal) itu elok tetapi sudah (masuk) lebuh raya motosikal itu rosak. Pergi cari (bengkel) dekat luar itu agak jauh.
“Walaupun ada perkhidmatan peronda lebuh raya, lebih cepat kalau ada ‘mobile pomen’ yang boleh baiki atau boleh ada bengkel yang agak sesuai di mana-mana R&R,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) Kementerian Kerja Raya (JKR) di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, mengenai laluan ‘smart lane’ yang menukar lorong kecemasan kepada laluan kenderaan pada waktu puncak, Afnan berkata ia menimbulkan kekeliruan serta risiko kemalangan kepada penunggang motosikal.
Katanya, penunggang motosikal lazimnya menggunakan lorong kiri dan kecemasan untuk bergerak ketika kesesakan berlaku.
“Apabila ‘smart lane’ diaktifkan, laluan kecemasan tak boleh digunakan. Penunggang terpaksa menyelit antara kenderaan yang padat, meningkatkan risiko kemalangan,” katanya.
Beliau turut menegur keadaan lorong kecemasan yang sempit, berdebu, licin dan dipenuhi serpihan tayar serta batu, selain cat garisan putih yang licin ketika hujan.
Afnan mengingatkan kerajaan, penunggang motosikal merupakan jumlah pengguna terbesar di lebuh raya, membayar cukai jalan seperti pengguna lain dan keselamatan mereka perlu diberikan perhatian serius dalam perancangan infrastruktur negara.
