Presiden MIC SA Vigneswaran, berkata parti itu perlu berdepan dwistandard pihak lain ketika meneroka pakatan di luar BN.
SHAH ALAM: Presiden MIC SA Vigneswaran menyelar sikap hipokrasi atas kritikan dilemparkan terhadap parti itu apabila mula meneroka pakatan di luar Barisan Nasional (BN), terutamanya dengan PAS.
Beliau menegaskan PKR dan DAP pernah bekerjasama dengan PAS di bawah Pakatan Rakyat (PR) yang kini bubar, manakala Umno membentuk Muafakat Nasional (MN) dengan PAS, yang kemudiannya turut gagal.
“Apabila PR ingin bekerjasama dengan PAS, ia dipuji sebagai ‘reformasi’. Apabila Umno bekerjasama dengan PAS, ia disebut sebagai ‘penyatuan ummah’.
“Tetapi, apabila MIC hanya mempertimbangkan untuk berhubung dengan PAS, tiba-tiba ia menjadi isu. Tiba-tiba ia tidak dapat diterima. Tiba-tiba MIC diminta untuk berdiam dan terkurung dalam batas politik ditetapkan orang lain.
“Ini adalah dwistandard yang mesti kita hadapi,” katanya pada ucapan dasar di hadapan perwakilan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.
Piagam MN ditandatangani Umno dan PAS pada 2019, ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan persekutuan, apabila kedua-dua parti Melayu-Islam terbesar itu memeterai kerjasama bersejarah.
Pakatan itu runtuh selepas PAS membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu sambil bertegas agar Bersatu dimasukkan dalam MN, yang dibantah Umno.
Pada 5 Sept lalu, Setiausaha Agung PN Azmin Ali, mengesahkan terdapat rundingan dengan MIC dan MCA mengenai kemungkinan kerjasama pilihan raya untuk PRU16.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, telah menyifatkan perbincangan berkenaan kerana masing-masing bergelut demi kelangsungan politik ketika PRU semakin hampir.
BERITA LANJUT MENYUSUL
