UTM jelas dasar selepas pekeliling larang ‘budaya luar’ undang kecaman

UTM tegaskan pihaknya komited terhadap ‘nilai kepelbagaian dan inklusif selaras dengan Perlembagaan Persekutuan’. (Gambar UTM)

PETALING JAYA: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tampil memberi penjelasan berhubung dasar kesenian dan kebudayaannya selepas dikecam hebat mengenai pekeliling baru-baru ini yang melarang kumpulan ‘budaya luar’ memasuki kampusnya.

UTM menegaskan, pihaknya komited terhadap ‘nilai kepelbagaian dan inklusif selaras dengan Perlembagaan Persekutuan’.

Menurutnya, pihaknya menghormati malah meraikan perpaduan serta kepelbagaian etnik, agama dan budaya yang membentuk komuniti kampusnya.

“Dalam Dasar Kebudayaan dan Kesenian UTM, istilah ‘budaya luar’ merujuk kepada unsur budaya yang tidak sejajar dengan nilai institusi dan amalan budaya masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

“Istilah ini tidak merujuk kepada mana-mana budaya, tradisi atau komuniti dalam negara, sebaliknya merujuk kepada keperluan universiti memastikan setiap aktiviti budaya dan kesenian dilandaskan nilai murni dan identiti tempatan.”

Pihak universiti berkata, ia juga menitikberatkan kesederhanaan, adab dan saling menghormati, dengan kepekaan terhadap kepelbagaian budaya warga kampus dalam kegiatan kebudayaan dan kesenian yang dianjurkan.

“UTM kekal komited menyediakan persekitaran harmoni dan terbuka kepada maklum balas bagi memastikan dasar dan amalan terus relevan dan menyokong aspirasi universiti sebagai peneraju pendidikan tinggi bertaraf global,” katanya.

Dalam pekeliling yang tular itu, UTM menyatakan bahawa ‘kumpulan budaya luar’ tidak dibenarkan berada di kampusnya tanpa kebenaran naib canselor.

Pekeliling itu juga menyatakan, persembahan kebudayaan yang melibatkan campuran jantina tidak dibenarkan, manakala persembahan oleh kumpulan wanita hanya boleh ditonton oleh penonton wanita.

Selain itu, irama muzik yang dipilih untuk persembahan mestilah ‘lembut, berciri kemelayuan dan sopan’, menurut pekeliling itu.

Susulan itu, sarjana bebas Sharifah Munirah Alatas membidas UTM berhubung pekeliling yang disifatkannya sebagai ‘amat regresif dan tidak perlu’ itu, menyatakan ia bertentangan dengan semangat kepelbagaian dan perpaduan Malaysia.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *