Calon Darau GRS Razali Razi berpelukan dengan penyokong Warisan selepas penamaan calon semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Razali Razi menggesa semua calon yang bertanding pada PRN Sabah supaya berkempen secara matang, dengan berkata bahawa mereka semua berkongsi hati dan semangat yang sama untuk negeri itu meskipun berbeza fahaman politik.
Razali, yang bertanding di Darau mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata kesedaran itu dirasai ketika berpelukan dengan salah seorang penyokong Warisan selepas proses penamaan calon semalam.
“Saya sedar satu perkara politik mungkin berbeza, tapi hati kita untuk Sabah tetap sama.
“Bagi saya, tidak kira kamu datang dari parti mana, agama apa, bangsa apa, atau kampung mana, selagi kita sama-sama mau Darau dan Sabah maju, kamu adalah keluarga saya.
“Saya percaya keharmonian tercipta bila kita berani buka ruang untuk berbual, bersalaman, berpelukan, dan menghormati pilihan masing-masing. Mari, sama-sama kita budayakan dan suburkan politik matang,” katanya di Facebook.
Razali, yang lebih dikenali sebagai Bob dalam kalangan penduduk setempat, disertai kira-kira 2,000 penyokong di pusat penamaan calon di Sepanggar semalam.
Selepas disahkan sebagai calon bagi kerusi Darau, beliau dilihat memeluk seorang penyokong Warisan walaupun mereka dianggap ‘lawan’.
Kerusi Darau akan menyaksikan pertandingan enam penjuru, dengan Razali berusaha merampas kerusi itu daripada calon Warisan, Azhar Matussin, yang telah mewakili kawasan tersebut selama dua penggal.
Azhar memenangi kerusi itu dengan majoriti hanya 562 undi pada PRN 2020.
Razali, yang bertanding buat kali pertama, berkata beliau telah bekerja di peringkat akar umbi di Darau selama lebih tiga tahun.
Sebagai seorang peguam, tumpuannya jika dipilih sebagai Adun ialah memperkukuh struktur pengurusan kampung serta membangunkan usahawan dan golongan belia di Darau.
Razali berkata kehadiran kira-kira 2,000 penyokong semalam hanyalah sebahagian kecil daripada sokongan akar umbi yang telah beliau bina sepanjang tiga tahun ini.
