MIC ikrar terus sokong Anwar, sekalipun keluar BN

Presiden MIC SA Vigneswaran berkata, CWC parti akan buat keputusan muktamad sama ada akan meninggalkan BN atau tidak ‘dalam masa terdekat’.

SHAH ALAM: MIC berikrar akan terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal pentadbirannya, sekalipun membuat keputusan untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN).

Presidennya, SA Vigneswaran menolak kemungkinan parti itu bergerak solo, menegaskan bahawa MIC mesti menyertai gabungan politik lain jika memutuskan keluar BN.

Bagaimanapun, beliau mempertahankan pendirian bahawa MIC hanya akan membuat keputusan mengenai gabungan baharu yang akan disertai selepas parti itu memuktamadkan langkah keluar dari BN, sebuah gabungan yang diasaskannya bersama Umno dan MCA lebih lima dekad lalu.

Tambahnya, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti akan membuat keputusan muktamad berhubung kedudukan dalam BN ‘dalam masa terdekat’.

“Paling penting, kami dalam dilema kerana perdana menteri sendiri tidak salah (berhubung perkara ini). Jadi, pendirian kami teguh sokong beliau bagi tempoh dua tahun lagi.

“Kami telah beri jaminan sebelum ini kami akan sokong Anwar sehingga akhir penggalnya. Keputusan itu masih terpakai,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Agung Tahunan MIC di Ideal Convention Centre (IDCC) hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, perwakilan MIC hari ini sebulat suara meluluskan dua resolusi, iaitu untuk meninggalkan BN, tetapi menyerahkan keputusan muktamad kepada CWC dan presiden parti.

“Kami bukan main politik … cuma sudah bosan (tentang kedudukan dalam BN). Keputusan ini dibuat untuk pastikan sebarang formula perkongsian kuasa mesti berlandaskan prinsip maruah,” katanya.

Vigneswaran berkata, beliau sendiri telah membincangkan perkara tersebut dengan Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, Jumaat lepas.

“Saya telah bercakap dengan beliau, bukan untuk runding soal kerusi tetapi untuk maklumkan hasrat kami meninggalkan BN. Beliau nasihati saya agar pertimbang semula (keputusan) kerana kami sudah lama dalam BN,” kata bekas speaker Dewan Negara itu.

Bagaimanapun, katanya, Pengerusi BN Zahid Hamidi masih belum dimaklumkan tentang perkara itu kerana MIC menganggapnya sebagai urusan dalaman parti.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa wakil rakyat MIC akan dapat mengekalkan kerusi mereka jika parti itu keluar dari BN, memandangkan akta antilompat parti hanya terpakai bagi individu yang bertukar parti, bukannya parti politik beralih sokongan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *