Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Putrajaya bukan niat perdaya rakyat Sabah, sebaliknya mahu selesai isu ini secara telus dan menyeluruh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Kerajaan persekutuan akan menunaikan hak Sabah memperoleh 40% daripada hasil yang dikutip dari negeri itu, tegas Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau juga berkata, Putrajaya tidak berniat memperdaya rakyat Sabah, sebaliknya komited untuk menyelesaikan isu tersebut secara telus dan menyeluruh.
Namun, katanya, isu ini dipolitikkan oleh pihak pembangkang, yang menggunakannya sebagai modal kempen untuk PRN 29 Nov ini.
“Mereka dakwa kerajaan sedang buat rayuan, bayangkan tindakan itu salah,” katanya, lapor Daily Express.
“Pilihan raya bukan tempat untuk menipu. Ada parti-parti yang pernah berada dalam kerajaan, malah dalam Jemaah Menteri, yang tahu bahawa rayuan itu berkaitan dengan alasan penghakiman.
“Kita bukan buat rayuan tentang 40% itu. Peguam negara juga telah jelaskan, tidak akan ada rayuan mengenai isu 40% itu. Malah saya ada sebut di Parlimen yang kita tidak akan failkan rayuan tentang itu.”
Perdana menteri berkata, Putrajaya kini memberi tumpuan kepada perbincangan teknikal untuk menentukan hasil sebenar Sabah dan jumlah tepat pemberian khas 40% itu, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican akan berada di Sabah esok untuk mengadakan perbincangan dengan setiausaha kerajaan negeri, tambahnya.
“Kita perlu bincang parameter, butiran dan aspek teknikalnya. Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof juga akan mempengerusikan satu mesyuarat.
“Kita perlu kaji hasil sebenar Sabah, nilai sebenar 40% itu dan kemampuan kewangan kerajaan. Ini bukan cakap kosong,” kata Anwar.
Formula perkongsian hasil ini sudah berdekad-dekad hangat diperdebatkan. Ahli politik Sabah sekian lama menggesa kerajaan persekutuan untuk menunaikan hak 40% daripada hasil bersih yang diperoleh dari negeri itu, seperti yang dipersetujui pada 1963.
Penggunaan formula itu digantung sejak 1974, dan sebagai ganti, kerajaan persekutuan memperuntukkan pemberian khas yang dipertingkatkan buat Sabah dan Sarawak.
Bulan lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengesahkan hak 40% Sabah ke atas hasil persekutuan yang diperoleh di negeri itu, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah juga memutuskan bahawa semakan pasca-2021 yang dijalankan oleh kerajaan terhadap hak negeri itu adalah tidak sah, tidak rasional, tidak mengikut prosedur dan tidak seimbang.
Jabatan Peguam Negara berkata, rayuan perlu dibuat untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini.
