Enggan jelas pendirian tuntutan Kedah, PAS P Pinang jejas PN, kata penganalisis

Kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS baru-baru ini berkata akan mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaannya bahawa Kedah mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Pinang. (Gambar Pelancongan Global Pulau Pinang)

GEORGE TOWN: Keengganan PAS Pulau Pinang mengkritik dakwaan kerajaan negeri Kedah yang dipimpin PAS mengenai Pulau Pinang telah menjejaskan kredibilitinya serta kredibiliti Perikatan Nasional (PN) di mata pengundi, kata penganalisis politik.

Ooi Kee Beng dari Institut Pulau Pinang mengkritik Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Fawwaz Jan, kerana mempertahankan tuntutan kerajaan Kedah supaya Putrajaya membayar ‘bayaran pajakan’ tahunan RM100 juta kepada negeri itu untuk Pulau Pinang.

Beliau berkata mana-mana parti politik yang berhasrat mentadbir Pulau Pinang tidak boleh secara terbuka bersetuju dengan apa yang disifatkannya sebagai tuntutan tidak munasabah Kedah.

“Sama ada seseorang bersetuju dengan kehendak hegemonik sebuah negeri jiran merupakan satu ujian keikhlasan, fakta sejarah dan rasional undang-undang.

“Pendiri­an PAS Pulau Pinang inilah punca mereka tidak akan dipandang serius oleh pengundi. Pendiri­an ini, ditambah dengan tuntutan itu, menunjukkan rasa tidak hormat terhadap perlembagaan dan tidak mengendahkan perasaan rakyat Malaysia lain,” katanya.

Fawwaz Jan.

Pada Khamis, Fawwaz berkata tindakan undang-undang yang ingin dimulakan kerajaan Kedah mengenai isu itu harus dibenarkan melalui saluran yang betul tanpa campur tangan politik atau spekulasi yang boleh ‘mengaburi isu’.

Fawwaz berkata sistem mahkamah adalah cara terbaik memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan undang-undang kukuh dan fakta sejarah, bukannya naratif yang ‘diputarbelitkan kuasa kolonial’.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata tumpuan PAS Kedah terhadap isu pajakan itu akan menyukarkan PAS Pulau Pinang mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu, yang merupakan faktor penting untuk PN jika ia bercita-cita mentadbir Pulau Pinang.

Azmi Hassan.

Beliau berkata tekanan yang diberikan Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor mengenai perkara itu menjadikan lebih sukar bagi PAS Pulau Pinang menunjukkan keupayaannya mentadbir negeri berkenaan.

“Saya rasa kerosakan sudah berlaku. Bukan Melayu di Pulau Pinang akan berasa bimbang terhadap PAS secara keseluruhan, khususnya berkaitan kehadirannya di Pulau Pinang,” katanya kepada FMT.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) juga menyedari bahawa pimpinan PN masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan tuntutan Kedah itu.

Azmil Tayeb.

Beliau memberi amaran bahawa jika PAS Kedah terus memainkan isu tersebut, ia akan menjejaskan prospek keseluruhan PN di Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang.

Azmil turut berkata pendiri­an PAS Pulau Pinang mungkin berpunca daripada kebimbangannya untuk dilihat bersetuju dengan DAP, selepas pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim, baru-baru ini menggesa wakil rakyat PAS dan PN di negeri itu menjelaskan sama ada mereka menyokong tuntutan Kedah.

“PAS Pulau Pinang berada dalam kedudukan sukar, yang menjelaskan sikap ragu-ragu dan tidak tegas mereka,” katanya.

Pada 10 Nov, Sanusi berkata Kedah berada di fasa akhir melantik pasukan guaman untuk memulakan tindakan mahkamah berhubung status negeri itu dan hubungannya dengan Pulau Pinang.

Pada 2021, beliau berkata kerajaan persekutuan telah membayar RM10,000 setiap tahun bagi pihak Pulau Pinang selama beberapa dekad, sebelum menaikkan jumlah itu kepada RM10 juta pada 2018 selepas perkara itu dibangkitkan di Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Beliau juga berhujah bahawa kedua-dua wilayah itu telah dipajak oleh Kesultanan Kedah kepada British pada 1791 dengan bayaran 10,000 dolar Sepanyol.

Bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang menegaskan bahawa kesultanan itu sebenarnya menyerahkan wilayah berkenaan selepas Merdeka. Sejarawan juga menegaskan tiada dokumen perjanjian pajakan rasmi wujud, menunjukkan naratif ‘pajakan’sewaan’ itu mungkin berpunca daripada salah faham sejarah.

Author:

1 thought on “Enggan jelas pendirian tuntutan Kedah, PAS P Pinang jejas PN, kata penganalisis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *