50 murid, guru Pasti berdepan detik cemas premis terbakar

Kebakaran melibatkan bangunan setingkat separa kekal menempatkan Pasti Raudhatul Athfal di Chukai, Kemaman, terbakar kira-kira 70% dalam kejadian pagi tadi. (Gambar Facebook)

CHUKAI: Seramai 50 murid dan guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Raudhatul Athfal berdepan detik cemas apabila premis mereka terbakar pagi tadi.

Guru Nur Amyrah Salihah Mohd Yusoff berkata, ketika kejadian kira-kira 10 pagi itu, 46 murid berusia empat hingga enam tahun sedang bersarapan selepas selesai sesi mengaji dan solat.

Kebakaran di premis satu tingkat itu, katanya, disedari orang awam yang melalui premis tersebut sebelum memberitahu mereka bahawa ruang atas bangunan yang menempatkan empat kelas dipenuhi asap tebal.

“Saya dan tiga lagi guru terus bergegas membawa murid keluar dari bangunan, kemudian kami lihat api menjulang tinggi dan menyambar seluruh ruangan bahagian atas sebelum merebak ke bahagian lain,” katanya ketika di lokasi kejadian.

Nur Amyrah berkata, semua buku dan perabot hangus dalam kebakaran tersebut manakala murid diberikan cuti sementara.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba Kemaman Saariah Hassan berkata, kebakaran melibatkan bangunan setingkat separa kekal yang terbakar kira-kira 70%.

Katanya, sepasukan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman dan BBP Chukai bergegas ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan diterima pada 10.09 pagi.

“Ketika bomba tiba, api sedang marak, (namun) semua penghuni dalam premis itu berjaya keluar dengan selamat,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Saariah, pasukan bomba mengambil masa 15 minit untuk mengawal api daripada merebak.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *