Bekas Adun Inanam, Dr Roland Chia bermula sebagai ahli PKR sebelum menyertai Bersatu dan kemudiannya Parti Gagasan Rakyat Sabah selepas PRU15. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Dr Roland Chia mengumumkan keluar daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah untuk bertanding sebagai calon bebas di kerusi Inanam.
Chia, yang pernah keluar PKR pada 2014, berkata beliau meninggalkan Gagasan Rakyat dan memilih bertanding sebagai calon bebas kerana menghormati “kehendak rakyat Inanam”, lapor Borneo Post.
“Ramai pengundi di Inanam menyatakan hasrat dan sokongan mereka supaya saya mewakili mereka di Kolombong, Inanam dan Menggatal,” kata Chia, yang pernah menjadi Adun Inanam dari 2013 hingga 2018.
Beliau berkata, perletakan jawatannya daripada Gagasan Rakyat berkuat kuasa semalam.
Chia, yang juga bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, menyertai Bersatu pada 2020 sebelum meninggalkan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu selepas PRU15 pada November 2022.
Beliau kemudian menyertai Gagasan Rakyat bersama beberapa bekas pemimpin Bersatu Sabah.
Terdahulu, Setiausaha Agung Gagasan Rakyat Razali Razi menegaskan mana-mana ahli parti yang bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya negeri atau umum akan dipecat serta-merta.
