Rekod perubatan elektronik di hospital, klinik kerajaan menjelang 2029

Setakat ini sebanyak 160 klinik kesihatan di seluruh negara telah dilengkapi sistem itu dan jumlah itu disasarkan meningkat kepada 200 sebelum akhir tahun.

PETALING JAYA: Semua hospital dan klinik kerajaan bakal dilengkapi dengan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) menjelang 2029, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata, ia melibatkan semua 150 hospital awam dan lebih 3,000 fasiliti kesihatan primer di seluruh negara, lapor Bernama.

Katanya, pelaksanaan menyeluruh sistem itu dibuat secara berfasa bermula tahun depan melibatkan 16 hospital diikuti 25 hospital pada 2027, 46 hospital pada 2028 dan 49 hospital pada 2029.

Menurutnya, klinik akan memiliki Sistem Pengurusan Klinikal Berasaskan Awan dan hospital dilengkapi Sistem Maklumat Hospital, ke arah satu warganegara, satu rekod.

Dzulkefly Ahmad.

Setakat ini sebanyak 160 klinik kesihatan di seluruh negara telah dilengkapi sistem itu dan jumlah itu disasarkan meningkat kepada 200 sebelum akhir tahun.

Menjelang 2029, lebih 3,000 fasiliti kesihatan primer meliputi klinik kesihatan, klinik ibu dan anak, klinik komuniti dan klinik desa di seluruh negara dijangka beroperasi menggunakan sistem tersebut.

“Klinik kesihatan ialah tulang belakang kepada penjagaan kesihatan primer negara dan sistem ini penting bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan di peringkat komuniti,” katanya di Putrajaya selepas hadir ke program Jelajah Wira Madani.

Menyentuh mengenai klinik daif di Sabah, Dzulkefly berkata usaha membina semula dan menaiktaraf fasiliti berkenaan telah bermula 2018 dan terus dipergiat.

Beliau berkata RM76.28 juta diperuntukkan untuk menaik taraf 154 klinik kesihatan dan klinik desa di Sabah bagi tempoh tiga tahun sejak 2023.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *