Peruntukan terbesar bukti kerajaan komited bangunkan Sabah, kata Zahid

Zahid Hamidi berkata, kedudukan Sabah sebagai penerima peruntukan terbesar selari dengan profil demografi negeri itu, yang peratusan penduduk luar bandarnya masih tinggi. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Peruntukan terbesar diterima Sabah dalam Belanjawan 2025 dan 2026 mencerminkan komitmen kerajaan persekutuan untuk memacu pembangunan negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan bukan sekadar angka, tetapi juga bukti jelas bahawa Sabah sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan kerajaan Madani, khususnya dalam usaha menangani isu asas seperti air, elektrik, jalan perhubungan desa, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keusahawanan.

“Dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Okt lepas, perdana menteri mengumumkan peruntukan Sabah sekali lagi mengatasi negeri lain,” katanya pada sidang media hari ini.

“Kedudukan Sabah sebagai penerima peruntukan terbesar adalah selari dengan profil demografi negeri itu yang masih mempunyai peratusan penduduk luar bandar yang tinggi.”

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, lebih 60% rakyat Sabah juga masih berada di kawasan luar bandar dan kawasan pinggir bandar.

Katanya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kekal komited untuk memastikan setiap lapisan masyarakat di Sabah menerima manfaat pembangunan yang seimbang dan berimpak tinggi.

Menurutnya, KKDW bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan asas, tetapi juga memperluas pelaksanaan program pendidikan Majlis Amanah Raya (Mara), TVET serta pembangunan teknousahawan melalui pelbagai skim termasuk Gate to Global dan inisiatif usahawan mikro.

Zahid berkata, tumpuan kerajaan yang berterusan terhadap Sabah juga mencerminkan kesungguhan untuk memastikan negeri itu menikmati pembangunan yang setara, selari dengan aspirasi kerajaan Madani.

Sabah menerima peruntukan RM17.6 bilion dalam Belanjawan 2025 dan RM17.5 bilion dalam Belanjawan 2026.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *