‘Langkah Kinabalu 2.0’ tak wujud, kata Zahid

Pengerusi BN, Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan rundingan antara parti sekiranya keputusan PRN Sabah menghasilkan DUN tergantung.

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi menafikan dakwaan wujudnya pakatan sulit antara gabungannya dengan Warisan, yang dinamakan ‘Langkah Kinabalu 2.0’, bagi menubuhkan kerajaan selepas PRN Sabah 29 Nov ini.

Presiden Umno itu berkata beliau tidak pernah mengadakan perbincangan dengan Presiden Warisan Shafie Apdal mengenai sebarang bentuk kerjasama sedemikian.

“Tidak ada ‘secret pact’ (Pakatan rahsia). Saya tidak pernah adakan perbincangan dengan Shafie mengenai perkara itu.

“Kalau ada, kita pun tak akan bertanding di kerusi yang Warisan tandingi dan sebaliknya,” katanya pada majlis sesi libat urus bersama media di Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, Zahid tidak menolak kemungkinan perlunya rundingan antara parti-parti selepas keputusan rasmi PRN Sabah diumumkan pada 29 Nov nanti.

“Kita tak tolak kemungkinan untuk adakan rundingan dan bentuk kerajaan selepas keputusan diumumkan.

“Ini kerana tidak ada satu parti atau gabungan yang boleh bentuk kerajaan sendirian,” katanya.

Menjelang PRN Sabah, spekulasi bertiup kencang mengenai pakatan rahsia antara BN dan Warisan yang dinamakan ‘Langkah Kinabalu 2.0’ apabila kedua-dua ketua parti didakwa mengadakan pertemuan sulit.

Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memetik sumber ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, satu pertemuan berlangsung antara Shafie dan Zahid dipercayai membincangkan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *