Kemarahan disuarakan beberapa pemimpin Sabah selepas kerajaan persekutuan mengumumkan keputusan untuk memfailkan rayuan separa dalam kes perkongsian hasil persekutuan agak membimbangkan.
Terutama sekali apabila Presiden Warisan Shafie Apdal menyatakan beliau ‘berharap’ kerajaan persekutuan tidak akan merayu terhadap keputusan panjang lebar ditulis oleh Hakim Celestina Stuel Gadit.
Kenyataan itu tidak mencerminkan pengalaman 30 tahunnya sebagai ahli politik — termasuk 20 tahun sebagai timbalan menteri (1995–2004) dan menteri (2004–2015) dalam Kabinet Persekutuan.
Pengerusi Barisan Nasional Sabah Bung Moktar Radin pula menyifatkan tindakan kerajaan persekutuan itu sebagai ‘mengecewakan’ dan mendesak supay hak perlembagaan negeri dihormati sepenuhnya.
Yang lebih mengejutkan tindakan Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) mengkritik rayuan separa itu, bertujuan mencabar dapatan hakim yang kerajaan persekutuan dan Sabah gagal melaksanakan tanggungjawab perlembagaan.
Sebagai badan undang-undang berautoriti, SLS tentu maklum hak merayu adalah hak statutori yang dinikmati semua pihak. Penting juga untuk mengakui kepentingan prinsip kedaulatan undang-undang.
Tiada hakim yang sempurna, apatah lagi hakim Mahkamah Tinggi yang keputusannya memang terbuka kepada penelitian dua peringkat — Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Ini kerana mana-mana hakim boleh melakukan kesilapan dari segi fakta atau undang-undang dan proses rayuan dinilai tiga atau lebih hakim di setiap peringkat adalah mekanisme lazim untuk membetulkan kesilapan.
Proses rayuan memastikan semua keputusan kehakiman melalui penelitian ketat — satu aspek penting untuk menjaga integriti sistem undang-undang.
Proses ini juga membolehkan prinsip undang-undang diseragamkan supaya konsisten.
Salah satu cara adalah melalui prinsip stare decisis, iaitu mahkamah rendah wajib mengikut keputusan ditetapkan mahkamah lebih tinggi.
Walaupun alasan penghakiman Celestina mungkin meyakinkan, keputusannya sebagai hakim Mahkamah Tinggi tidak mengikat mana-mana mahkamah lebih tinggi — malah tidak mengikat seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi di bilik sebelah.
Sebaliknya, keputusan Mahkamah Persekutuan mengikat semua mahkamah di bawahnya. Perkara sama untuk keputusan Mahkamah Rayuan.
Ada juga prinsip asas keadilan semula jadi. Undang-undang menetapkan hak untuk didengar termasuk merayu keputusan yang memudaratkan.
Bagaimana pula dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan? Semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan. Hak ini juga terpakai kepada kerajaan persekutuan.
Kerajaan persekutuan berhak berasa tidak puas hati terhadap beberapa dapatan penghakiman itu.
Dalam perenggan 211 contohnya, hakim membuat kesimpulan ‘penggunaan kuasa oleh kerajaan persekutuan dan Sabah di bawah Perkara 112D bukan sahaja merupakan salah guna kuasa tetapi satu pelanggaran tanggungjawab perlembagaan”.
Itu adalah dapatan serius yang wajar diperiksa melalui proses rayuan.
Adakah hakim berhak membuat dapatan itu berdasarkan undang-undang dan fakta terhad yang dikemukakan? Bukankah isu ini melibatkan persoalan undang-undang bercampur fakta? Bolehkah dapatan sebegitu dibuat dalam prosiding semakan kehakiman tanpa keterangan lisan daripada kedua-dua kerajaan? Dan adakah dapatan itu tepat dari segi fakta dan undang-undang?
Kemudian perenggan 212 pula menyatakan perintah semakan kedua yang dibuat pada 2022 adalah ‘menyalahi undang-undang, tidak munasabah, tidak teratur dari segi prosedur dan/atau tidak seimbang’. Sekali lagi, adakah beliau berhak membuat dapatan itu berdasarkan dokumen yang ada?
Ini hanyalah dua perenggan daripada keseluruhan 235 perenggan dalam penghakiman setebal 109 muka surat. Peguam Negara Dusuki Mokhtar mungkin akan mencabar lebih banyak dapatan lain dalam rayuan. Itu adalah hak kerajaan persekutuan sebagai pihak dalam prosiding mahkamah.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tepat apabila dalam jawapan di Parlimen menegaskan kerajaan persekutuan tidak boleh berdiam diri dan menerima tuduhan salah guna kuasa serta pelanggaran tanggungjawab perlembagaan sejak 1974.
Adakah SLS mencadangkan kerajaan Sabah juga perlu menerima dapatan negatif terhadapnya? Apa kesannya? Dari sudut undang-undang, bolehkah Sabah meraih manfaat daripada pelanggaran tugas oleh kerajaannya sendiri?
Realitinya, SLS membawa pertikaian politik ke dalam ruang perundangan. Itu hak mereka. Tetapi setelah melakukannya, mereka tidak boleh mengehadkan hak undang-undang kerajaan persekutuan dengan mendesak supaya tiada rayuan dibuat.
Secara jujur, membuat rayuan bukan satu pengkhianatan. Mendesak perdana menteri tidak merayu bukan soal prinsip undang-undang — ini soal tekanan politik, terutama menjelang pilihan raya negeri Sabah.
Ia tentang memaksimumkan sentimen ‘Sabah For Sabahans’. Tiada salahnya sentimen itu, tetapi bukan dengan cara ini.
Marilah kita tinggalkan permainan politik di luar ruang keadilan.
Kerajaan persekutuan mungkin mempunyai kewajipan perlembagaan terhadap Sabah, tetapi ia juga ada tanggungjawab terhadap seluruh Malaysia.
Yang patut diberi perhatian, Anwar pada Khamis turut menyeru kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berunding dengan penuh keikhlasan. Bukankah itu jalan terbaik?
Ibrahim M Ahmad adalah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
