Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda menegaskan parti itu rai kritikan dan kebebasan bersuara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan terbaik berhubung isu pemilihan parti, yang didakwa ditangguhkan, enggan memanjangkannya sebagaimana dibangkitkan sebelum ini.
Beliau turut terbuka menerima kritikan daripada anggota jawatankuasa pusat Raja Kamarul Bahrin Shah terhadapnya berhubung isu itu.
“Saya serah kepada parti untuk buat keputusan yang terbaik. Parti akan bermesyuarat untuk selesaikan.
“Amanah meraikan kritikan dan kebebasan bersuara. Saya terima baik teguran demi parti,” katanya kepada FMT.
Beliau menambah, keutamaan semua ahli dan pimpinan parti adalah memperkemas gerak kerja bagi menghadapi PRU16.
Semalam, Raja Kamarul mengkritik Hasbie berhubung pengakuannya bahawa beliau tersilap berkongsi maklumat dalaman yang tidak tepat mengenai penangguhan pemilihan parti.
Katanya, Hasbie berkongsi dalam satu kumpulan WhatsApp bahawa mesyuarat jawatankuasa pusat beberapa minggu lalu telah memutuskan pemilihan parti akan ditangguhkan, selaras dengan Klausa 19.2(j) dalam perlembagaan Amanah.
“Namun, ini bercanggah dengan apa yang dinyatakan oleh jurucakap rasmi pada konvensyen Amanah, bahawa tiada keputusan atau perbincangan mengenai perkara itu pernah dibuat.
“Inilah yang menimbulkan lebih banyak kekeliruan dalam kalangan ahli parti dan media,” kata Raja Kamarul.
Tambahnya, kekeliruan itu menimbulkan kekecohan dalam kalangan perwakilan pada konvensyen nasional Amanah, yang harus ditangani pengerusi sidang, Azhar Abdul Shukur.
Ketika konvensyen berlangsung Ahad lepas, ketegangan tercetus apabila beberapa perwakilan menuntut usul berkaitan pemilihan parti dibahas segera.
