Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, buat sementara waktu, penduduk Jalan Papan boleh menetap di rumah Skim Smart Sewa. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM: Penduduk di Jalan Papan, Pandamaran, Klang, yang terlibat dengan perobohan rumah akan menerima rumah mampu milik dibangunkan Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB).
Menteri Besar Amirudin Shari berkata, perkara itu dipersetujui bersama-sama pada mesyuarat pagi tadi apabila pihak pemaju bersetuju menyerahkan tanah seluas 2.83 hektar bagi projek pembangunan menyeluruh.
“Akhirnya pemaju setuju untuk menyerahkan tanah dan kita akan bangunkan kediaman untuk peneroka bandar tersebut, tetapi akan ambil masa kerana ia melibatkan pembangunan menyeluruh.
“Untuk sementara waktu (mereka) boleh tinggal di rumah Skim Smart Sewa dan kalau ada masalah kewangan, kita boleh berbincang,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di DUN hari ini.
Amirudin turut meluahkan rasa kesal apabila isu tersebut berlarutan sekian lama dan kerajaan negeri selaku orang tengah telah berusaha sebaik mungkin untuk membantu kedua-dua pihak.
“Penyelesaiannya telah dicuba banyak kali termasuk dalam penggal lepas, pemaju mahu menyediakan tapak tetapi masing-masing tidak mahu mengalah,” katanya.
“Akhirnya apa yang terjadi mereka meneruskan kes di mahkamah dan mahkamah membuat keputusan tanah itu milik pemaju. Kerajaan negeri cuba membantu tetapi usaha itu tidak berjaya.”
Terdahulu media melaporkan, isu melibatkan peneroka bandar di Jalan Papan sejak 25 tahun lepas memasuki fasa penyelesaian selepas pemaju Melati Ehsan Consolidated Sdn Bhd (MECSB) bersetuju menyerahkan 2.8 hektar tanah kepada kerajaan negeri.
Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Borhan Aman Shah berkata, pada 11 Nov, kerajaan negeri telah mengeluarkan surat rasmi kepada MECSB untuk mengesahkan penyerahan 3.2 hektar tanah sebagaimana komitmen semasa mesyuarat dengan menteri besar pada 21 Okt.
Sebelum ini, media melaporkan kerja perobohan rumah di Kampung Papan tegang apabila terdapat individu mendakwa sebagai penduduk bertindak agresif membantah Tindakan tersebut.
Sidang DUN Selangor bersambung 17 Nov.
