P Pinang bentang belanjawan defisit terendah RM1.088 bilion

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow tunjuk naskhah belanjawan negeri 2026 di DUN hari ini. (Gambar Johnshen Lee)

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang membentangkan belanjawan negeri bagi tahun depan berjumlah RM1.088 bilion, mencatatkan rekod defisit terendah setakat ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, belanjawan tahun depan, bernilai RM147 juta lebih tinggi berbanding peruntukan tahun ini (RM940.22 juta), akan mencatatkan defisit terendah dalam sejarah iaitu RM19.92 juta, setelah mengambil kira unjuran hasil negeri sebanyak RM1.068 bilion.

Beliau berkata, kerajaan negeri merekodkan kutipan hasil sebanyak RM916.25 juta setakat tahun ini, melepasi sasaran awal sebanyak RM906.59 juta.

“Kerajaan negeri optimis untuk mencapai kutipan hasil keseluruhan melebihi RM1 bilion sebelum penutupan akaun akhir tahun ini seperti mana yang pernah dicapai pada 2016, di mana kutipan hasil (ketika itu) dicatatkan berjumlah RM1.029 bilion,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan di DUN hari ini.

Chow turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sekali beri dengan kadar minimum RM1,000 atau tiga perempat gaji bulanan kepada kesemua 3,954 penjawat awam negeri.

Selain itu, menurutnya, insentif sekali beri sebanyak RM300 akan diagihkan kepada 3,358 guru dan kakitangan Kelas Al-Quran & Fardu Ain (Kafa), sekolah agama, serta sekolah persendirian Cina.

Pelaksanaan pembayaran BKK dan insentif sekali beri itu, yang akan disalurkan mulai bulan depan, melibatkan perbelanjaan kerajaan negeri berjumlah RM11.49 juta.

Fokus pada projek impak tinggi

Chow berkata, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi tahun depan, merangkumi proses pengambilan tanah bagi projek LRT Laluan Mutiara, projek Gurney Bay Fasa 2, pembangunan Silicon Island, serta projek ketersambungan di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Katanya, seluas lebih 101 hektar telah berjaya ditambak bagi projek tambakan laut Silicon Island setakat ini.

Di samping itu, tapak-tapak projek bagi depoh LRT, loji rawatan Indah Water Konsortium, dan sebahagian kawasan perindustrian Green Tech Park sedang disiapkan dan dijangka sedia untuk dijual dan dibangunkan menjelang akhir tahun ini dan suku pertama tahun depan.

Chow berkata, tapak bagi projek perumahan mampu milik negeri, sebuah masjid, projek Heart of The Island, dan pusat pentadbiran kerajaan negeri pula akan sedia antara suku keempat 2026 hingga 2030.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *