Timbalan Ketua PSM S Arutchelvan antara tiga lelaki direman atas dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Klang menolak permohonan polis untuk mereman 10 aktivis dan penduduk yang ditahan berhubung kerja perobohan di Kampung Jalan Papan.
Timbalan Ketua PSM, S Arutchelvan menerusi teks ringkas dalam kumpulan WhatsApp media berkata, mahkamah menolak permohonan reman pagi tadi.
“Bagaimanapun, enam lagi ditahan hari ini, termasuk Chang Yee Shan, ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan Jernell Tan, penyelaras kumpulan hak asasi Suara Rakyat Malaysia.”
Semalam, Tan dilaporkan berkata, pihak berkuasa akan membawa lapan aktivis dan dua penduduk Kampung Jalan Papan ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman susulan bantahan mereka terhadap kerja perobohan.
Tan turut mengesahkan Arutchelvan dan dua lelaki lain direman sehari lagi susulan penahanan mereka Rabu lalu atas dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
