Lebih RM3 juta lesap menerusi penipuan rumah subsidi Johor-Singapura

Mangsa lapor lihat iklan ‘Program Subsidi Perumahan JBSG’ atau ‘Rumah Percuma di Seberang Tambak’ di platform dalam talian seperti Facebook dan WhatsApp. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerugian lebih SGD$1 juta (RM3.18 juta) dipercayai dicatatkan akibat skim penipuan subsidi perumahan Johor-Singapura sejak September, dengan sekurang-kurangnya 21 kes dilaporkan kepada pihak berkuasa Singapura.

Polis Singapura berkata, iklan skim tersebut secara palsu mendakwa ia inisiatif bersama antara kerajaan Singapura dan Johor untuk menyediakan perumahan bersubsidi.

Menurut laporan Straits Times, pihak polis menjelaskan bahawa program subsidi perumahan ini tidak wujud.

Mangsa melaporkan melihat iklan ‘Program Subsidi Perumahan JBSG’ atau ‘Rumah Percuma di Seberang Tambak’ di platform dalam talian seperti Facebook dan WhatsApp.

Ada antara iklan tersebut turut menyertakan dokumen dengan tandatangan palsu kononnya milik perdana menteri Singapura dan Malaysia, menurut polis.

Iklan tersebut mengandungi pautan yang membawa mangsa ke WhatsApp untuk berkomunikasi dengan penipu.

Mangsa kemudian diminta memberikan maklumat peribadi, termasuk nombor kad pengenalan, alamat rumah dan alamat e-mel, melalui pautan yang mencurigakan itu.

Dalam sesetengah kes, mangsa diminta memindahkan wang secara dalam talian kononnya sebagai ‘duti undang-undang dan setem’ atau menyerahkan wang tunai kepada orang yang tidak dikenali.

Polis Singapura menggesa orang ramai agar tidak berkongsi maklumat peribadi atau memberikan wang kepada individu yang identitinya tidak dapat disahkan.

Hampir SGD500 juta (RM1.6 bilion) lesap akibat penipuan di Singapura pada separuh pertama tahun ini, melibatkan hampir 20,000 kes yang dilaporkan dalam tempoh tersebut.

Dalam kira-kira 80% kes ini, penipu memperdaya mangsa untuk memindahkan wang tanpa mengakses akaun mereka secara langsung.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *