Sindiket seludup migran ‘Pade Ajak’ tumpas

Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan migran ‘Pade Ajak’ dalam dua serbuan di Kuala Selangor, Selangor kelmarin. (Gambar Jabatan Imigresen)

PUTRAJAYA: Sindiket penyeludupan migran dikenali “Pade Ajak” tumpas menerusi siri serbuan di beberapa lokasi sekitar Kuala Selangor kelmarin, kata Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati sindiket “Pade Ajak” aktif sejak awal 2023 dengan rangkaian operasi membabitkan ejen di Malaysia dan dalang utama di Indonesia.

“Sindiket menggunakan media sosial untuk menawarkan perkhidmatan membawa masuk dan keluar migran melalui laluan tidak diwartakan, dengan bayaran RM1,500 hingga RM2,100 bagi setiap individu.

“Keuntungan keseluruhan sindiket dianggarkan mencecah RM504,000 hasil aktiviti haram berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Zakaria berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis dijadikan lokasi transit migran sebelum diseludup ke Indonesia.

Menurutnya, premis bersebelahan kedai runcit dan makan itu dilengkapi kemudahan tempat tinggal, bilik air serta dapur bagi menyembunyikan kegiatan mereka.

“Hasil serbuan membawa kepada tangkapan sembilan warga Indonesia, terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 45 tahun, serta dua transporter lelaki masing-masing warga Nepal dan Indonesia yang berperanan sebagai pengangkut migran.”

Katanya, sebuah Toyota Innova yang digunakan untuk mengangkut migran turut disita.

Beliau berkata, serbuan kedua di sebuah rumah teres dua tingkat dekat lokasi pertama membawa kepada penahanan enam lagi migran warga Indonesia, terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 40 tahun.

“Turut ditahan dua penjaga rumah, masing-masing seorang wanita Indonesia dan lelaki Nepal serta seorang lagi lelaki Indonesia berusia 36 tahun yang disyaki dalang utama serta transporter sindiket.”

Jelasnya, siasatan awal mendapati semua migran itu ditempatkan sementara di premis berkenaan sebelum diseludup keluar melalui laluan laut tidak sah di sekitar perairan Kuala Selangor.

“Kebanyakan mereka mengaku mendapatkan khidmat sindiket melalui akaun media sosial,” katanya sambil menambah sebuah Perodua Alza turut dirampas bersama sejumlah wang tunai dipercayai bayaran beberapa migran untuk tujuan penyeludupan keluar.

Zakaria berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik premis warga tempatan dipercayai bersekongkol dengan sindiket itu dengan menyewa serta membenarkan premisnya dijadikan pusat pengumpulan migran bagi keluar masuk secara haram.

“Individu berkenaan akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670].”

Katanya, operasi itu turut menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan “National Guideline on Human Trafficking Indicators 2.0”.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *